
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mengambil tindakan menyingkirkan empat pelajar tingkatan lima sebuah maktab di Johor hari ini, susulan kes buli yang berlaku baru-baru ini.
- Dua pelajar digantung sementara sehingga pengesahan polis mengenai penglibatan mereka.
- Jawatankuasa Disiplin dan Bahagian Pendidikan Menengah MARA diarahkan menjalankan siasatan serta mengadakan mesyuarat segera.
- Mangsa 14 tahun didakwa membawa barang terlarang, dilapor dipukul, alami lebam dan trauma emosi; ibu membuat hantaran tuntut keadilan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) bersidang dan meneliti kes berkenaan.
Katanya, buat masa ini, dua pelajar lagi digantung sementara sehingga pengesahan diperoleh daripada pihak polis berhubung penglibatan mereka dalam kes buli tersebut.
“Allah sahaja yang tahu perasaan saya apabila enam pelajar diambil oleh ibu bapa masing-masing pagi tadi selepas JDM MRSM bersidang dan memutuskan untuk menyingkirkan mereka kerana kes buli.
“Namun, amaran telah diberikan berulang kali,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Datuk Asyraf Wajdi berkata, proses kawad cam membabitkan mangsa buli telah dijalankan bagi mengenal pasti kesemua suspek yang disyaki terbabit.
Beliau berkata, Bahagian Pendidikan Menengah MARA dan JDM telah diarahkan menjalankan siasatan serta mengadakan mesyuarat dengan segera sebaik kes itu dilaporkan.
Dalam masa sama, Datuk Asyraf Wajdi memaklumkan, mangsa, seorang pelajar 14 tahun yang didakwa membawa barang terlarang turut disiasat.
“Apa juga kesalahan yang dibuat oleh junior tidak sesekali menghalalkan perbuatan buli dengan mengambil tindakan sendiri menghukum pelajar terbabit,” katanya.
Kes berkenaan sebelum ini mendapat perhatian selepas seorang wanita dipercayai ibu kepada mangsa memuat naik hantaran mendakwa anak lelakinya terpaksa keluar daripada MRSM selepas tidak tahan dibuli pelajar senior.
Menerusi hantaran itu, wanita berkenaan mendakwa anaknya memilih untuk berhenti daripada MRSM kerana tidak lagi dapat memberi tumpuan kepada pembelajaran akibat tekanan yang dialami.
Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar Mei lalu selepas mangsa didakwa menghisap vape yang diperoleh daripada pelajar lain.
Menurut beliau, kejadian itu membabitkan mangsa didakwa dipukul di bahagian dada serta dipaksa menyerahkan wang kepada pelajar senior.
Mangsa juga dilaporkan mengadu mengalami lebam pada mata, selain tekanan emosi dan trauma susulan kejadian berkenaan.