NUR@PETRA bantu rakyat hadapi krisis tenaga, bekalan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperuntukkan RM32 juta bagi pelaksanaan Program Nikmat Untuk Rakyat (NUR@PETRA) 2026 untuk membantu pengguna domestik beralih kepada penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • 160,000 unit rebat RM200 untuk penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel 4 atau 5 bintang (ST atau ECoS).
  • Permohonan rebat kategori domestik dibuka mulai 1 Julai sebagai bantuan menghadapi kenaikan kos tenaga dan ketidaktentuan pasaran tenaga global.
  • Program NUR@PETRA galakkan pengguna guna peralatan cekap tenaga untuk tingkatkan kecekapan, kurangkan bil elektrik isi rumah dan amalan lestari.
  • Dijangka jimat 552.25 GWh, penjimatan kos kira-kira RM250.72 juta dalam lima tahun serta kurangkan 408,655 tan CO2eq.

PETRA dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 160,000 unit rebat bernilai RM200 setiap satu disediakan bagi pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga yang mempunyai label kecekapan tenaga empat atau lima bintang daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) atau Energy Commission of Sabah (ECoS).

“Permohonan rebat bagi kategori domestik akan dibuka mulai 1 Julai ini sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan membantu rakyat menghadapi peningkatan kos tenaga dan ketidaktentuan pasaran tenaga global, di samping menyokong agenda peralihan tenaga negara.

“Pelaksanaan Program NUR@PETRA Domestik bertujuan menggalakkan pengguna beralih kepada penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga, sekali gus meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, mengurangkan kos bil elektrik isi rumah serta memupuk amalan penggunaan tenaga yang lebih lestari,” menurut kenyataan itu.

Program berkenaan dijangka menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 552.25 gigawatt-jam (GWh), bersamaan penjimatan kos kira-kira RM250.72 juta dalam tempoh lima tahun.

Inisiatif berkenaan juga dijangka mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 408,655 tan karbon dioksida bersamaan (CO2eq), tertakluk kepada jangka hayat dan tahap kecekapan pengoperasian peralatan terbabit.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan, kaedah permohonan, mekanisme pelaksanaan serta senarai jenama dan model peralatan yang layak melalui laman sesawang rasmi SEDA Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.