
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Sektor pelancongan negara terus mencatat prestasi positif meskipun berdepan gangguan perjalanan global serta ketegangan geopolitik di Asia Barat, apabila Malaysia merekodkan 17.5 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
- Lanjutan Tahun Melawat Malaysia hingga 2027 dan sasaran ambisius Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk meningkatkan ketibaan serta hasil pelancongan.
- Memperkukuh promosi Tourism Malaysia di pasaran stabil dan berpotensi, serta menarik acara antarabangsa melalui MyCEB.
- Menggiatkan promosi pelancongan premium dan mesra Muslim, memperluas laluan udara, serta memajukan sektor kapal persiaran bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, pencapaian itu membuktikan usaha berterusan kementerian bersama agensinya berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan sektor pelancongan negara walaupun berdepan cabaran luaran.
“Bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama agensinya telah melaksanakan beberapa langkah strategik. Pertama, mencadangkan supaya kempen Tahun Melawat Malaysia dilanjutkan hingga 2027.
“Kedua, memperkukuh usaha promosi Tourism Malaysia di pasaran yang lebih stabil dan berpotensi tinggi seperti ASEAN, Asia Timur, Asia Selatan, Asia Tengah, Eropah, Afrika Utara dan Oceania.
“Ketiga, menarik lebih banyak penganjuran acara serta perniagaan antarabangsa menerusi Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) dengan menampilkan Malaysia sebagai destinasi yang selamat, stabil dan bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kuala Kedah Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkenaan kesan konflik di Asia Barat terhadap jumlah kedatangan pelancong asing ke Malaysia khususnya dari pasaran Eropah dan Asia Barat serta strategi kerajaan bagi mengekalkan momentum pertumbuhan sektor pelancongan.
Selain itu, MOTAC katanya turut mempertingkat promosi pelancongan premium dan mesra Muslim melalui Islamic Tourism Centre (ITC) sekali gus memperluas jaringan ketersambungan udara negara, termasuk pembukaan dan penambahan laluan penerbangan baharu bagi meningkatkan accessibility dan ketibaan pelawat.
Pada masa sama, mempergiat promosi pelancongan kapal persiaran, bagi meningkatkan ketibaan pelawat antarabangsa, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hub persiaran serantau, serta menjana impak ekonomi kepada destinasi tempatan.
Usaha memperluas jaringan penerbangan antarabangsa serta memperhebat promosi pelancongan kapal persiaran turut dilaksanakan bagi meningkatkan ketibaan pelawat dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan persiaran serantau.
Ketika mengulas berkenaan strategi penyasaran semula pasaran yang dilaksanakan Tourism Malaysia, ia menunjukkan hasil positif apabila ketibaan pelawat dari rantau Asia Pasifik meningkat 3.5 peratus kepada 16.2 juta bagi tempoh Januari hingga Mei 2026.
Malaysia menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa dengan unjuran hasil pelancongan sebanyak RM329 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.