Penurunan harga bahan api rancakkan perbelanjaan isi rumah, ekonomi domestik

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Penurunan harga runcit petrol dan diesel dijangka memberi rangsangan positif kepada ekonomi domestik menerusi peningkatan kuasa beli isi rumah dan kesan pengganda, sekali gus membantu merangsang aktiviti merentasi pelbagai sektor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penjimatan kecil setiap isi rumah tetapi apabila serentak, kesan pengganda menyokong perbelanjaan dan pertumbuhan domestik.
  • Wang dijimatkan dibelanjakan semula untuk makanan, barangan keperluan, perkhidmatan dan pendidikan.
  • Sektor pengangkutan dan logistik menikmati impak paling pantas, diikuti sektor makanan, pertanian, peruncitan dan perkhidmatan pengguna.
  • Kos operasi lebih rendah membantu syarikat kekal kadar caj perkhidmatan dan mengekalkan margin keuntungan.

Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, walaupun impak penurunan harga bahan api itu bersifat sederhana, langkah tersbeut bagaimanapun mampu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat.

“Walaupun penjimatan bagi setiap keluarga ini mungkin jumlahnya tidaklah begitu besar, tetapi apabila ia berlaku kepada ramai pengguna secara serentak, maka pastinya kesannya akan dapat membantu menyokong perbelanjaan dalam pertumbuhan ekonomi domestik.

“Dari sudut ekonomi, ini berlaku melalui kesan pengganda ataupun multiplier effect, di mana wang yang dijimatkan daripada petrol ataupun diesel ini akan dapat dibelanjakan semula untuk tujuan-tujuan lain seperti makanan, barangan keperluan, perkhidmatan, pendidikan ataupun apa-apa aktiviti lain untuk seisi keluarga.

“Perbelanjaan ini kemudiannya akan menjadi pendapatan kepada golongan peniaga, pekerja dan juga pembekal barangan dan perkhidmatan tersebut,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pelarasan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 25 hingga 30 Jun dibuat selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), susulan penurunan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.

Harga RON97 diturunkan 25 sen kepada RM4.10 seliter, RON95 tanpa subsidi turun 25 sen kepada RM3.47 seliter, manakala diesel di Semenanjung Malaysia turun 30 sen kepada RM4.07 seliter

Pada masa sama, beliau berkata, sektor pengangkutan dan logistik dijangka menikmati kesan paling pantas berikutan bahan api merupakan komponen kos utama operasi harian, diikuti sektor makanan serta pertanian, selain sektor peruncitan dan perkhidmatan pengguna.

Pengurangan kos operasi dalam sektor pengangkutan berpotensi membantu syarikat mengekalkan kadar caj perkhidmatan serta mengurangkan tekanan untuk menaikkan harga, manakala sektor makanan pula dijangka mendapat manfaat menerusi kos pengeluaran dan pengangkutan yang lebih terkawal.

“Kenderaan seperti lori, van perhantaran, pas, teksi, e-hailing, kurier dan perkhidmatan penghantaran barang kesemuanya bergantung kepada bahan api.

“Jadi apabila harga bahan api ini turun, sudah pasti kos operasi boleh menjadi lebih rendah jadi dapat membantu syarikat ini mengekalkan kadar caj dan pada masa sama menjaga margin keuntungan,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.