
KUALA LUMPUR, 28 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerima pengiktirafan sebagai Honorary Bencher daripada Inns of Court Malaysia (ICM) dan menyifatkannya sebagai amanah untuk terus menyumbang kepada pengukuhan sistem perundangan, keadilan dan tadbir urus negara.
- Menekankan undang-undang sebagai asas keadilan, kestabilan, kemajuan dan keharmonian negara.
- Memuji peranan ICM sepanjang sedekad dalam memupuk kecemerlangan profesion guaman, etika profesional dan pendidikan undang-undang.
- Mengingatkan cabaran AI, pendigitalan dan keselamatan siber serta menekankan kepentingan integriti dan tanggungjawab moral.
Beliau berkata, pengiktirafan itu adalah satu tanggungjawab untuk memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus diperkasa.
“Saya amat bersyukur dan rendah hati menerima pengiktirafan ini. Ia bukan sekadar satu penghormatan peribadi, tetapi satu amanah untuk saya terus menyumbang kepada usaha memperkukuh sistem perundangan, keadilan dan tadbir urus negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-10 Inns of Court Malaysia di ibu negara.
Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Tun Dr Wan Junaidi sebelum ini merupakan penerima pertama pengiktirafan Honorary Bencher ICM, pada tahun lalu.
Menurut Datuk Seri Fadillah lagi, sepanjang sedekad penubuhannya, ICM memainkan peranan penting dalam memupuk kecemerlangan profesion guaman, memperkukuh etika profesional, memperluas pendidikan undang-undang serta menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang di Malaysia.
“Undang-undang bukan sekadar himpunan akta atau peraturan, tetapi merupakan asas kepada keadilan, kestabilan, kemajuan dan keharmonian sesebuah negara.
“Kepercayaan rakyat terhadap institusi keadilan hanya dapat diperkukuh apabila undang-undang dilaksanakan secara adil, telus serta tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.
Dalam pada itu katanya, landskap dunia perundangan kini berdepan perubahan besar susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, keselamatan siber dan teknologi baharu.
Beliau menambah, teknologi mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan kecekapan serta memperluas akses kepada keadilan, namun aspek kebijaksanaan, integriti dan tanggungjawab moral kekal sebagai nilai utama yang tidak boleh digantikan.
Beliau berkata, Malaysia akan terus maju sebagai sebuah negara yang aman, makmur dan dihormati sekiranya semua pihak terus mempertahankan kebebasan institusi, memperkukuh pendidikan undang-undang, meningkatkan profesionalisme serta menjunjung kedaulatan undang-undang.
“Semoga kita terus berganding bahu membina institusi yang lebih kukuh, mempertahankan prinsip keadilan dan meninggalkan legasi yang memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.
Inns of Court Malaysia merupakan sebuah institusi yang memberi tumpuan kepada pembangunan profesionalisme dalam bidang perundangan, termasuk memperkukuh hubungan antara pengamal undang-undang, meningkatkan standard etika serta menyokong pendidikan undang-undang di Malaysia.