
KUALA SELANGOR, 26 Jun – Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun masih belum ditemui selepas bot yang dinaikinya bersama seorang lagi lelaki karam ketika dalam perjalanan pulang ke jeti berhampiran Jeti Bintara Kunci Air Batu 6, Kampung Kuantan, Jalan Bestari Jaya, petang semalam.
- JBPM Selangor terima panggilan kecemasan 6.47 malam; anggota BBP Bestari Jaya tiba di lokasi pada 7 malam.
- Operasi SAR bermula serta-merta menggunakan bot dan pencarian permukaan; ditangguhkan pada 3 pagi dan disambung 7 pagi.
- Hari kedua, bomba bersama Unit PPDA dan Unit Pengesan K9 mencari sepanjang tebing sungai dalam radius 1 hingga 3 kilometer ke hulu.
- Unit K9 dan PPDA tamat operasi 6.20 petang; pencarian disambung esok 8 pagi dengan kerjasama pelbagai agensi, dibantu tujuh anggota PDRM.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 6.47 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya tiba di lokasi pada 7 malam.
Komander Operasi, PBK II Kamil Hafizan Mat Nor melaporkan bot berkenaan dinaiki dua lelaki Melayu berusia 73 dan 49 tahun. Mangsa berusia 49 tahun berjaya menyelamatkan diri, manakala warga emas terbabit dipercayai hilang selepas bot itu karam.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dimulakan sejurus kejadian diteruskan sehingga awal pagi dengan menggunakan bot serta kaedah pencarian di permukaan air (surface searching), sebelum ditangguhkan pada pukul 3 pagi dan disambung semula pada pukul 7 pagi tadi.
Memasuki hari kedua operasi, anggota bomba bersama Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Pengesan (K9) menjalankan pencarian menggunakan bot di sepanjang tebing sungai dalam radius antara satu hingga tiga kilometer ke hulu sungai bagi mengesan sebarang petunjuk berkaitan mangsa.
Bagaimanapun, sehingga pukul 6.30 petang tadi, mangsa masih belum ditemui.
JBPM memaklumkan Unit K9 dan PPDA menamatkan operasi mereka di lokasi pada pukul 6.20 petang, manakala pencarian akan disambung semula esok bermula pukul 8 pagi dengan kerjasama semua agensi terlibat.
Sementara itu, anggota BBP Bestari Jaya akan meneruskan operasi pencarian di sekitar kawasan pencarian utama (PKB) sepanjang malam menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.
Operasi SAR turut dibantu tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).