Isa Samad kekal dipenjara, permohonan semakan sabitan rasuah ditolak

Bekas Pengerusi Felda Datuk Mohd Isa Abdul Samad / Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Jun – Datuk Isa Abdul Samad kekal menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan terhadap sabitan rasuah membabitkan sembilan pertuduhan berjumlah RM3.09 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panel tiga hakim sebulat suara memutuskan tiada berlaku ketidakadilan dalam prosiding terdahulu.
  • Mahkamah mengekalkan denda RM15.45 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites di Kuching.
  • Isa diberi peluang mengemukakan hujahan pembelaan tetapi memilih tidak berbuat demikian; panel terdahulu menjalankan bidang kuasa secara adil.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Ravinthran N. Paramaguru, sebulat suara memutuskan tiada berlaku ketidakadilan dalam prosiding terdahulu.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman denda RM15.45 juta terhadap Datuk Isa berkaitan kes rasuah membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Datuk Azizah berkata, Datuk Isa melalui peguamnya telah diberi peluang sepenuhnya untuk mengemukakan hujahan pembelaan serta mitigasi ketika pendengaran sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak berbuat demikian dan panel terdahulu telah menjalankan bidang kuasa rayuan secara adil mengikut Seksyen 86 dan 92 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Menurut beliau, panel terdahulu juga mempunyai kuasa untuk menilai semula keterangan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum memutuskan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta mengembalikan sabitan dan hukuman asal.

Dengan keputusan itu, sabitan serta hukuman terhadap Datuk Isa yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini kekal.

Datuk Isa sebelum ini didapati bersalah atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berkaitan pembelian MPHS, yang membawa kepada hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta.

Beliau kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya dan mengembalikan sabitan serta hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.