Selangor teliti penggunaan EV untuk SUKMA 2026

Foto hiasan / BERNAMA

SHAH ALAM, 23 Jun – Cadangan penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi tujuan logistik dan pengangkutan sempena dengan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, sedang diteliti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu menilai infrastruktur pengecasan, kapasiti sokongan teknikal serta liputan lokasi pertandingan merentasi beberapa daerah.
  • Penggunaan EV berpotensi kurangkan kebergantungan bahan api fosil dan jimat kos operasi jangka panjang.
  • Keputusan bergantung kepada penajaan, pembekalan rasmi dan pertimbangan keberkesanan operasi serta kesiapsiagaan infrastruktur.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, beberapa aspek operasi perlu dinilai secara menyeluruh sebelum keputusan dibuat, termasuk kesediaan infrastruktur pengecasan, kapasiti sokongan teknikal serta liputan lokasi pertandingan yang melibatkan beberapa daerah di seluruh negeri.

Menurut beliau, selain berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, penggunaan EV juga mampu menjimatkan kos operasi dalam jangka panjang.

“Bagaimanapun, pada peringkat ini Kerajaan Selangor masih meneliti aspek pelaksanaan secara menyeluruh memandangkan urusan penajaan dan pembekalan kenderaan rasmi SUKMA 2026 masih belum dimuktamadkan.

“Selain itu, beberapa faktor operasi perlu diberikan perhatian termasuk kesediaan infrastruktur pengecasan, kapasiti sokongan teknikal serta liputan lokasi pertandingan yang melibatkan pelbagai daerah di seluruh negeri.

“Seperti yang diketahui, venue SUKMA 2026 akan melibatkan lokasi yang agak meluas dan bertaburan merentasi beberapa daerah. Oleh itu, aspek jarak perjalanan, tempoh pengecasan serta ketersediaan stesen pengecas EV perlu dinilai dengan teliti bagi memastikan kelancaran pergerakan atlet, pegawai dan urus setia sepanjang temasya berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada Sidang Khas Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Mohd Najwan berkata, cadangan penggunaan EV akan terus dipertimbangkan dalam perancangan logistik SUKMA 2026 sekiranya terdapat kerjasama strategik daripada pemain industri automotif atau syarikat berkaitan yang berminat menjadi penaja rasmi temasya berkenaan.

Katanya, sebarang keputusan akan mengambil kira aspek keberkesanan operasi dan kesiapsiagaan infrastruktur bagi memastikan perjalanan temasya berjalan lancar tanpa menjejaskan pergerakan kontinjen serta petugas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.