KPM tambah dua kolej Tingkatan Enam baharu

Fadhlina Sidek/RTM

SELAYANG, 18 Jun- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menambah dua kolej Tingkatan Enam baharu tahun ini bagi memperluas akses pendidikan prauniversiti kepada lebih ramai pelajar di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekosistem Tingkatan Enam kini merangkumi 29 kolej, 99 sekolah Mod 2 dan 502 sekolah Mod 3.
  • 92,291 pelajar menerima baucar buku dengan peruntukan keseluruhan RM9.23 juta bagi kebajikan dan pembangunan intelektual.
  • Transformasi digital terus diperkasakan, dengan papan pintar dipasang di 18 daripada 29 kolej dan diperluas secara berperingkat.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata penambahan Kolej Tingkatan Enam Alor Setar di Kedah dan Kolej Tingkatan Enam Gombak di Selangor menjadikan jumlah kolej Tingkatan Enam meningkat daripada 27 kepada 29 buah.

Menurut beliau, ekosistem Tingkatan Enam kini merangkumi 29 kolej, 99 sekolah Mod 2 dan 502 sekolah Mod 3 selaras dengan usaha kerajaan memperkasakan laluan pendidikan prauniversiti yang berkualiti serta inklusif.

“KPM turut memberi perhatian terhadap kebajikan dan pembangunan intelektual pelajar Tingkatan Enam. Sehingga 15 Jun lalu, seramai 92,291 pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara menerima manfaat baucar buku melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM9.23 juta,” katanya.

Beliau turut memaklumkan transformasi pembelajaran digital di kolej Tingkatan Enam terus diperkasakan, termasuk penyediaan kemudahan papan pintar (smartboard) di 18 daripada 29 kolej sedia ada bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran abad ke-21.

Menurutnya, kemudahan berkenaan akan diperluaskan secara berperingkat ke semua kolej Tingkatan Enam di seluruh negara.

Tambah beliau, usaha berterusan itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan pencapaian akademik pelajar, malah sebagai persediaan melahirkan generasi yang mampu menerajui pembangunan pendidikan negara pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2025 dan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan SKBMW Tahun 2025 di sini, hari ini.

Selain memperkukuh aspek akademik dan pembelajaran digital, KPM turut memberi perhatian terhadap pembangunan kepimpinan serta sahsiah pelajar Tingkatan Enam menerusi penganjuran Kongres Prauniversiti Kebangsaan pada Ogos depan.

Menurut Fadhlina, kongres itu akan menghimpunkan wakil pelajar Tingkatan Enam dari setiap negeri bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pendidikan, selain menjadi medan pertukaran idea dan pandangan dalam kalangan pelajar prauniversiti.

“Selain aspek kepimpinan, KPM turut memberi penekanan terhadap pembangunan kokurikulum pelajar Tingkatan Enam menerusi pelaksanaan pelbagai program yang dapat meningkatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Karnival Kokurikulum Tingkatan Enam yang dijadual berlangsung pada Oktober depan serta Pidato Piala Diraja Tingkatan Enam bagi memperkasakan kemahiran komunikasi dan pemikiran kritis pelajar.

“Dalam konteks untuk terus menyokong markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan penglibatan mereka dalam bidang kokurikulum, Karnival Kokurikulum Tingkatan Enam akan dilaksanakan pada Oktober 2026. Begitu juga penglibatan mereka dalam program-program penting seperti penganjuran Pidato Piala Diraja Tingkatan Enam yang turut dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.