Harga diesel Semenanjung turun 30 sen, RON95 dan RON97 kekal

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Bermula 18 hingga 24 Jun 2026, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak 30 sen seliter kepada RM4.37 berbanding RM4.67 seliter sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga runcit petrol RON95 dan RON97 kekal, masing-masing RM3.72 seliter dan RM4.35 seliter.
  • MOF jelaskan penurunan diesel selaras formula Automatic Pricing Mechanism berikutan pergerakan purata harga pasaran minyak mentah.
  • Subsidi BUDI95 kekal RM1.99 seliter menjimatkan penerima; kerajaan tanggung subsidi kira-kira RM3.5 bilion sebulan.

Sementara itu, harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing kekal tidak berubah pada RM3.72 seliter dan RM4.35 seliter.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, penurunan harga diesel itu selaras dengan formula ‘Automatic Pricing Mechanism (APM)’ berikutan pergerakan purata harga pasaran minyak mentah antarabangsa pada minggu terdahulu.

“MOF turut menjelaskan harga petroleum bersubsidi kekal seperti ditetapkan kerajaan, iaitu RM1.99 seliter bagi petrol RON95 di bawah program BUDI95 yang memberi manfaat kepada lebih 14 juta penerima layak,”katanya.

Bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, harga diesel bersubsidi kekal pada RM2.15 seliter. Harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) ditetapkan RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter.

Menurut kenyataan itu lagi, penggunaan 200 liter RON95 tanpa subsidi pada harga RM3.72 seliter melibatkan kos RM744. Namun, penerima BUDI95 hanya perlu membayar RM398 pada harga subsidi RM1.99 seliter, sekali gus menjimatkan sehingga RM346 sebulan.

“Bagi diesel pula, harga tanpa subsidi RM4.67 seliter adalah lebih dua kali ganda berbanding harga bersubsidi RM2.15 seliter. Perbezaan ini membantu mengurangkan tekanan kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.

“Kerajaan mengunjurkan tanggungan subsidi kekal tinggi sekitar RM3.5 bilion sebulan, dengan kira-kira RM2 bilion diperuntukkan bagi petrol RON95 dan RM1.5 bilion bagi diesel,” katanya.

Kerajaan MADANI berkata, perkembangan positif konflik di Asia Barat yang menunjukkan petunjuk ke arah penyelesaian turut membantu meredakan harga minyak mentah global daripada paras tertinggi sebelum ini.

Walaupun berdepan risiko jangka pendek, kerajaan kekal komited memastikan kebajikan rakyat dan kelangsungan sektor terlibat terus terpelihara melalui pendekatan subsidi bersasar serta pengurusan fiskal berhemat dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu.

Pada masa sama, orang ramai digalakkan menggunakan bahan api secara berhemah melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap bagi mengurangkan pembaziran serta tekanan subsidi negara.

Secara keseluruhan, perkembangan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengekalkan kestabilan harga bahan api serta memastikan manfaat subsidi terus dinikmati golongan sasar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.