
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM).
- Pelantikan dipersetujui sebulat suara oleh ahli-ahli Lembaga Majlis Media Malaysia dalam mesyuarat pada 26 Mei.
- Beliau mempunyai 18 tahun khidmat kehakiman dan menulis kira-kira 325 penghakiman termasuk keputusan penting perlembagaan dan komersial.
- MMM ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025 untuk memperkukuh standard kewartawanan, mengendalikan aduan, mempromosi etika dan kebebasan media.
- Majlis akan memberi tumpuan memperkukuh institusi, melaksanakan Kod Tatakelakuan, membangunkan sistem aduan adil dan meningkatkan kefahaman awam tentang peranan media.
Pelantikan beliau dipersetujui sebulat suara oleh Ahli-Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia dalam mesyuarat pada 26 Mei lepas.
MMM menerusi satu kenyataan menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh peranannya sebagai badan kawal selia kendiri yang bebas, berwibawa dan berteraskan kepentingan awam bagi industri media.
“Komitmen Tan Sri Nallini sepanjang kerjaya terhadap kebebasan badan kehakiman, kedaulatan undang-undang dan akses kepada keadilan menjadikan beliau individu paling sesuai untuk memimpin majlis ketika ia memulakan peranannya dalam memupuk media yang bebas, bertanggungjawab dan dikawal selia secara kendiri di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Tan Sri Nallini bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada Februari lepas, setelah berkhidmat selama 18 tahun dalam badan kehakiman.
Sepanjang tempoh itu, beliau berkhidmat di ketiga-tiga peringkat mahkamah atasan dan menulis kira-kira 325 penghakiman yang dilaporkan, termasuk keputusan penting dalam bidang undang-undang perlembagaan dan komersial.
Selain itu, beliau turut memegang jawatan Naib Pengerusi Forum Hakim-Hakim Persatuan Peguam Antarabangsa, ahli Kumpulan Pemandu Forum Antarabangsa Tetap Mahkamah Komersial, selain hakim di Mahkamah Antarabangsa Qatar dan Pusat Penyelesaian Pertikaian Qatar.
Ditubuhkan bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025, MMM ialah badan kawal selia kendiri industri media yang berperanan memperkukuh standard kewartawanan, mengendalikan mekanisme aduan awam berkaitan media, mempromosikan amalan beretika, serta mempertahankan kebebasan media sebagai asas penting kepada demokrasi.
Bawah kepimpinan Tan Sri Nallini, majlis berkenaan akan memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh institusi, melaksanakan Kod Tatakelakuan, membangunkan sistem aduan yang adil dan diyakini, serta meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai peranan media dalam sebuah masyarakat demokratik.
Menurut MMM, pelantikan berkenaan dibuat pada waktu penting ketika industri media berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan ekonomi, perubahan teknologi, kecerdasan buatan (AI), maklumat palsu dan mengelirukan, ancaman terhadap wartawan serta keperluan membina semula kepercayaan awam terhadap media.
“Majlis Media Malaysia yakin bahawa kepimpinan Tan Sri Nallini akan membantu memacu Majlis ke arah fasa yang lebih matang, bebas dan berwibawa, berteraskan tiga asas utama, iaitu standard, etika dan kebebasan,” menurut kenyataan itu.