Letak penimbang lebih jauh, taktik baharu peniaga ayam

Foto hiasan/ BERNAMA

TUMPAT, 14 Jun – Taktik meletakkan penimbang lebih jauh atau terlindung daripada pandangan pelanggan dikesan menjadi trend dalam kalangan peniaga ayam di Kelantan, sejak dua hingga tiga bulan kebelakangan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peniaga didakwa mengenakan caj berdasarkan berat lebih tinggi daripada berat sebenar ayam.
  • KPDN merekodkan 60 tindakan undang-undang: 49 kes alat timbang tidak ditentusah, 7 tiada tanda harga, 4 harga mengelirukan.
  • Orang ramai disaran memantau proses penimbangan secara terbuka; pembeli tidak seharusnya melepaskan pengawasan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata kebanyakan aduan yang diterima pihak KPDN membabitkan isu penipuan timbangan ayam adalah menggunakan modus operandi yang hampir sama.

Beliau berkata antara aduan yang diterima ialah harga yang dibayar tidak sama dengan harga yang diiklankan atau dipamerkan. Pelanggan mendakwa mereka dicaj berdasarkan berat yang lebih tinggi berbanding berat sebenar ayam yang dibeli.

“Orang ramai disaran menjadi pengguna yang bijak dengan sentiasa memantau proses penimbangan ketika membuat pembelian.

“Pembeli tidak seharusnya membiarkan proses itu dilakukan tanpa pengawasan, sebaliknya perlu memastikan ia dilaksanakan secara terbuka dan telus”, katanya dalam sidang media selepas meninjau Op Tiris di sebuah stesen minyak di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Mengulas lanjut katanya, sebanyak 29 aduan berkaitan peniaga ayam diterima dan disiasat oleh KPDN Kelantan setakat ini.

Hasil penguatkuasaan dan pemantauan berterusan, sebanyak 60 kes tindakan undang-undang direkodkan melibatkan peniaga ayam di sekitar Kelantan.

Daripada jumlah itu 49 kes membabitkan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 iaitu peniaga menggunakan alat timbang sukat tidak ditentusah serta tamat tempoh. Manakala tujuh kes lagi membabitkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga di bawah pelanggaran Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Selain itu, empat kes turut diambil tindakan melibatkan harga mengelirukan dikenakan kepada pengguna mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara tidak munasabah atau melanggar peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.