
SEGAMAT, 14 Jun – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan RM10 juta bagi pelaksanaan Program Intervensi Peralihan Persaraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), untuk manfaat kira-kira 1,300 anggota ATM yang bakal bersara.
- Program WBL memastikan anggota bersara keluar dengan diploma, dengan kos penilaian ditanggung kerajaan.
- UPNM dan kerjasama industri memperkukuh latihan, meningkatkan kemahiran serta nilai pasaran untuk peluang pekerjaan dan pendapatan lebih baik.
- PERHEBAT mengubah pendekatan latihan peralihan; latihan enam bulan diorientasikan terus dengan industri untuk penyerapan kerja yang bermaruah dan kurang bergantung bantuan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata inisiatif itu bagi memastikan anggota ATM yang bersara pada usia masih produktif dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara melalui peluang kerjaya yang lebih baik dan setanding dengan kelayakan akademik mereka.
“Sebahagian besar anggota masuk tentera dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan apabila pencen pada umur 41 atau 42 tahun, mereka keluar mencari pekerjaan juga menggunakan SPM, sekali gus menyukarkan mereka bersaing dalam pasaran luar.
“Melalui program WBL ini, sekurang-kurangnya mereka keluar dengan diploma, yang kos penilaian RM6,500 setiap individu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
“Kita telah mengenal pasti pelbagai keperluan yang boleh diperkasakan. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mempunyai kekuatan dalam bidang keselamatan dan pertahanan. Apabila pelajar menamatkan pengajian dengan diploma, nilai mereka dalam pasaran kerja akan meningkat dan mereka berpeluang memperoleh gaji yang lebih baik.
“Apabila latihan diperkukuh melalui kerjasama dengan industri, mereka bukan sahaja mempunyai kemahiran yang diperlukan, malah mempunyai peluang pekerjaan yang lebih terjamin sebaik tamat pengajian. Ini seterusnya membolehkan mereka memperoleh pendapatan yang lebih baik dan menjadi dorongan untuk terus bekerja dalam bidang tersebut,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kem Rejimen ke-4 Artileri Diraja Kem Segamat di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kementerian turut mengubah pendekatan latihan peralihan yang dikendalikan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dengan mengorientasikannya secara terus bersama pihak industri.
Langkah itu bagi memastikan setiap anggota yang tamat menjalani latihan peralihan selama enam bulan akan terus diserap ke dalam sektor pekerjaan bersesuaian tanpa perlu mencari pekerjaan sendiri dengan pendapatan yang bermaruah.
Usaha berkenaan juga dapat mengurangkan kebergantungan veteran ATM kepada bantuan kebajikan kerajaan pada masa hadapan.