
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Hampir 2,000 menyertai Fun Walk HAWANA 2026 termasuk pengamal media dan ahli keluarga, wakil agensi kerajaan, rakan strategik serta orang ramai di Taman Tasik Titiwangsa, di ibu negara hari ini bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
- Pelepasan berjalan kaki 2.6 kilometer disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.
- Pelbagai acara sampingan disediakan untuk seisi keluarga termasuk sukan rakyat, pertandingan mewarna dan kuiz.
- Kemuncak HAWANA 2026 dijadual berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun dan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelepasan acara berjalan kaki sepanjang 2.6 kilometer dengan mengelilingi Tasik Titiwangsa itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah pada pukul 7.45 pagi.
Acara berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif),Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Pelbagai acara sampingan disediakan untuk seisi keluarga seperti sukan rakyat iaitu batu seremban, congkak, kercang dan dam haji selain pertandingan mewarna serta kuiz.
Program berkenaan diharapkan dapat terus berperanan sebagai platform menyatukan komuniti media dan masyarakat melalui aktiviti menggalakkan gaya hidup sihat serta memupuk semangat kebersamaan, selaras dengan aspirasi sambutan HAWANA 2026.
Kemuncak sambutan HAWANA 2026 akan berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun dan dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.