
GOMBAK, 13 Jun – Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang memperkukuh kerangka perundangan syariah negara dengan menyiapkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Hibah dan RUU Wasiat Orang Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.
- Menjadikan draf sebagai model undang-undang yang boleh dijadikan panduan kepada setiap negeri.
- Menyusun pelan tindakan menyeluruh atau blueprint untuk penggubalan undang-undang syariah secara lebih sistematik dalam beberapa tahun akan datang.
- Memperoleh maklum balas negeri dan melibatkan peguam, hakim serta pakar perundangan dalam proses pindaan dan penggubalan undang-undang.
Menterinya, Dr. Zulkifli Hasan, berkata kedua-dua draf yang dibangunkan menerusi Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JAPIK) di bawah Bahagian Perundangan Syariah JAKIM itu dijangka menjadi model perundangan yang boleh diguna pakai oleh negeri-negeri lain.
Tambahnya,kerajaan turut merangka satu pelan tindakan menyeluruh bagi menyusun penggubalan undang-undang syariah secara lebih sistematik dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Saya juga telah memohon supaya Jabatan Hal Ehwal Agama menyediakan satu pelan tindakan atau ‘blueprint’ yang menyeluruh bagi menyusun undang-undang yang perlu digubal dan diluluskan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Kita turut mendapatkan maklum balas daripada semua negeri mengenai undang-undang yang perlu dipinda, digubal dan dilaksanakan.
“Paling penting, kita mahu mewujudkan model undang-undang yang boleh dijadikan panduan oleh setiap negeri.
“Usaha ini dilaksanakan dengan bantuan para peguam, hakim dan pakar-pakar perundangan,” katanya.
Beliau berucap demikian merasmikan Konvensyen Hibah Antarabangsa (KOHI) 2026 yang dianjurkan Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Shariah Lawsoc Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini.