
KOTA TINGGI, 13 Jun – Malaysia akan meneliti sama ada untuk meneruskan kedudukan pasukan pengaman di Lubnan, berikutan mandat misi Pasukan Interim Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) dijadualkan tamat pada Disember ini.
- MALBATT perlu meningkatkan tahap kesiapsiagaan; peranan kini melibatkan risiko berada di tengah konflik peperangan.
- Perbincangan merancang proses membawa pulang pasukan sekiranya perlu.
- Dua anggota MALBATT cedera akibat serpihan letupan; kecederaan tidak serius.
- Arahan diberi kepada MALBATT 850-13 untuk mempertingkat keselamatan dan sentiasa berwaspada.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pertimbangan itu dibuat berikutan keadaan keselamatan di Lubnan yang semakin tidak menentu susulan konflik berterusan melibatkan Israel.
“Ada beberapa perkara yang kita bincangkan. Pertama, kita perlu memastikan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) mempunyai tahap kesiapsiagaan yang lebih baik berbanding sebelum ini kerana peranan mereka kini bukan lagi sekadar pasukan pengaman, sebaliknya berdepan risiko berada di tengah-tengah konflik peperangan.
“Kita juga membincangkan soal apabila mandat berakhir hujung tahun ini, proses untuk membawa pulang pasukan dan menamatkan penyertaan dalam misi tersebut.
“Tetapi kita juga memikirkan, oleh kerana serangan-serangan Israel ini, sama ada kita perlu meneruskan pasukan pengaman PBB di Lubnan. Jika tidak, Lubnan akan menjadi padang jarak padang tekukur,” katanya selepas merasmikan Program Jiwa Murni MADANI Kementerian Pertahanan di Sekolah Kebangsaan Johor Kampong, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas insiden yang mengakibatkan dua anggota MALBATT cedera akibat terkena serpihan letupan baru-baru ini, Mohamed Khaled berkata kedua-dua anggota terbabit tidak mengalami kecederaan serius.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan anggota MALBATT 850-13 supaya mempertingkatkan aspek keselamatan dan sentiasa berwaspada susulan situasi yang semakin mencabar di kawasan konflik di Lubnan.