
GEORGE TOWN, 9 Jun – Senarai akhir atlet yang bakal mewakili Kontinjen Pulau Pinang ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor akan dimuktamadkan menjelang penghujung bulan ini.
- Pulau Pinang menyasarkan 60 pingat emas pada SUKMA Selangor.
- Negeri disahkan menyertai 37 acara di kejohanan.
- Persiapan kini fasa akhir; intensiti latihan meningkat, pemulihan fizikal diberi perhatian dan MoU dengan Vitahealth menyokong kontinjen.
Sebanyak 37 acara disahkan akan disertai negeri itu dengan sasaran utama meraih 60 pingat emas.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata, persiapan kontinjen kini berada di fasa akhir dengan peningkatan intensiti latihan.
“Aspek pemulihan fizikal turut diberi perhatian bagi memastikan atlet berada pada tahap prestasi optimum sepanjang kejohanan.
“Kita kini berada di tahap persediaan tertinggi, namun pada masa sama atlet perlu diberi ruang untuk pemulihan agar dapat beraksi dengan lebih cemerlang,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Vitahealth Malaysia di Komtar, di sini, hari ini
Kontinjen Pulau Pinang optimis mampu mencapai sasaran ditetapkan hasil persiapan rapi serta sokongan berterusan daripada semua pihak.