Empat maut, 30 cedera dalam serangan terbaharu Rusia di Ukraine

Foto REUTERS 

KYIV, 9 Jun – Empat orang maut dan 30 cedera dalam serangan terbaharu Rusia ke atas sebuah bangunan kediaman di wilayah Zaporizhzhia, Ukraine pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gabenor Ivan Fedorov muat naik gambar mayat ditutupi kain dan bangunan musnah di pusat bandar sekitar 25 km dari barisan tentera Rusia.
  • Serangan turut dilaporkan di Sumy, dengan mortar dan dron menyerang Seredyna-Buda, serta insiden di Sloviansk dan Odesa melibatkan kecederaan orang awam.
  • Ukraine membalas dengan serangan dron ke dalam wilayah Rusia manakala PBB mencatat ribuan korban awam sejak perang bermula Februari 2022.

Gabenor wilayah terbabit, Ivan Fedorov memuat naik gambar di media sosial yang menunjukkan mayat-mayat yang ditutupi kain serta sebuah bangunan yang musnah di pusat bandar yang terletak kira-kira 25 kilometer dari barisan tentera Rusia.

Manakala di wilayah timur laut Sumy, gabenor Oleg Grigorov melaporkan bahawa Rusia melancarkan serangan menggunakan mortar dan dron ke daerah Seredyna-Buda.

Satu lagi serangan menyasarkan sebuah blok pangsapuri, sebuah bank dan sebuah kedai di Nikopol, wilayah Dnipropetrovsk, menurut ketua pentadbiran tentera tempatan, Oleksandr Ganzha.

Pihak berkuasa tempatan pula berkata sekurang-kurangnya tujuh orang cedera dalam serangan di Sloviansk, wilayah Donetsk, manakala tiga lagi cedera di wilayah Odesa.

Serangan harian Rusia yang meragut nyawa orang awam semakin meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Ukraine pula membalas dengan serangan dron yang menembusi lebih jauh ke dalam wilayah Rusia dengan menyatakan bahawa sasaran utama mereka adalah kemudahan ketenteraan dan tenaga.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada April, sekurang-kurangnya 15,850 orang awam telah terbunuh di Ukraine sejak perang dengan Rusia bermula pada Februari 2022.

Lebih 2,800 orang awam turut terkorban di kawasan yang dikuasai Rusia, menurut angka PBB.

Pertubuhan itu juga menyatakan bahawa lebih 44,800 orang telah cedera di Ukraine dan wilayah yang diduduki Rusia. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.