KSN tegaskan komitmen perkhidmatan awam pertahan kedaulatan ekonomi negara

Foto FB KSN

KUALA LUMPUR, 8 Jun –Perkhidmatan awam komited mempertahankan kedaulatan ekonomi negara menerusi tindakan bersepadu antara kementerian dan agensi kerajaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi kepentingan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Setiausaha Negara mengambil serius arahan Perdana Menteri supaya semua jentera perkhidmatan awam memperkukuh koordinasi dan kerjasama strategik.
  • Pematuhan undang-undang, perlindungan kepentingan rakyat dan pemeliharaan ekosistem perniagaan yang adil, telus dan berintegriti ditekankan.
  • Perdana Menteri arah kementerian dan agensi utama, termasuk LHDN, Kastam, KPDN, MCMC dan BNM, berbuat tegas terhadap penyalahgunaan visa pelawat dan pelajar.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengambil perhatian serius terhadap arahan Perdana Menteri agar seluruh jentera perkhidmatan awam memperkukuh koordinasi dan kerjasama strategik dalam menangani sebarang isu yang boleh menjejaskan ekonomi negara.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata langkah tersebut penting bagi menjamin pematuhan undang-undang, melindungi kepentingan rakyat serta memelihara ekosistem perniagaan yang adil, telus dan berintegriti.

“Prinsip kedaulatan undang-undang perlu terus dipertahankan tanpa sebarang kompromi.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan visa, permit atau lesen yang boleh menjejaskan ekonomi negara, kesejahteraan rakyat serta kepentingan nasional,” katanya.

Tambah beliau, komitmen berterusan perkhidmatan awam amat penting dalam memastikan tadbir urus negara kekal berkesan, berintegriti dan mampu menyokong agenda pembangunan negara secara mampan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi hari ini menzahirkan kebimbangan terhadap kebanjiran warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat dan pelajar untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar mengarahkan kementerian dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pihak berkuasa tempatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Bank Negara Malaysia mengambil tindakan tegas dan menyeluruh bagi membanteras aktiviti itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.