Pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan hanya 0.8 peratus – IATA

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 7 JunPengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) global dijangka mencecah sekitar 2.4 juta tan pada tahun 2026, mewakili hanya 0.8 peratus daripada keseluruhan penggunaan bahan api industri penerbangan dunia, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengeluaran SAF dijangka lebih perlahan tahun ini, menelan kos kira-kira AS$4.3 bilion kepada syarikat penerbangan global.
  • Dasar kerajaan yang tidak tersusun dan kurang minat syarikat minyak menyukarkan usaha memenuhi keperluan bahan api menjelang 2050.
  • IATA menggesa tindakan menyeluruh: perluas bekalan tenaga boleh baharu, jamin akses infrastruktur, tingkat insentif dan laksanakan sistem book and claim.

Ketua Pengarah IATA Wille Walsh berkata, pengeluaran SAF pada tahun ini dijangka lebih perlahan, dengan kos dianggarkan mencecah kira-kira AS$4.3 bilion kepada syarikat penerbangan di seluruh dunia.

“Lima tahun selepas komitmen untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dibuat, SAF hanya menyumbang 0.8 peratus daripada penggunaan bahan api syarikat penerbangan.

“Laluan untuk memenuhi 65 peratus keperluan bahan api menjelang 2050 semakin mencabar berikutan dasar kerajaan yang tidak disusun secara berkesan serta kurangnya minat daripada syarikat minyak untuk meningkatkan pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, insentif bagi mempercepat pembangunan tenaga boleh baharu yang diperlukan untuk mewujudkan pasaran SAF yang berdaya maju masih belum mencukupi.

Justeru, IATA menggesa tindakan lebih menyeluruh bagi mempercepatkan pembangunan SAF, termasuk memperluas bekalan tenaga boleh baharu dan menjamin akses terbuka kepada infrastruktur bahan api.

“Selain itu, sokongan dasar perlu diperkukuh menerusi insentif pengeluaran dan rangka kerja pelaburan yang mampu memberikan kepastian serta mengurangkan risiko sebelum sebarang mandat dilaksanakan

“Dalam masa sama, pasaran SAF global perlu diwujudkan dengan bekalan yang mencukupi pada harga yang berdaya saing bagi memastikan kemampanan kewangan dan ekonomi industri penerbangan,” katanya dalam kenyataan sama.

Jelas IATA, pelaksanaan sistem “book-and-claim” penting bagi membolehkan syarikat penerbangan dan pengeluar SAF mengambil bahagian dalam pasaran global tanpa mengira lokasi operasi masing-masing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.