Milton Amat Juara 42km Pearl of Borneo Marathon 2026

Pelari Sabah, Milton Amat (tiga dari kiri) muncul juara kategori lelaki terbuka 42 kilometer / Foto RTM

LABUAN, 7 Jun – Pelari dari Sabah, Milton Amat muncul juara kategori lelaki terbuka 42 kilometer Pearl of Borneo Marathon (POBM) 2026 selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2 jam 57 minit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prasoet Phaisan (Thailand) menjuarai lelaki senior veteran; Mohd Zulkarnain menjuarai kategori veteran.
  • Hasnita Asis juara wanita terbuka; Bee Hong Ewe dan Tammy Chew menjuarai kategori senior veteran dan veteran wanita.
  • Acara menarik 3,367 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Thailand, India, Ireland, Rusia, Kanada, Filipina, AS dan Britain.
  • Kejohanan dilihat berpotensi disenaraikan dalam Borneo Marathon Series, mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai destinasi pelancongan sukan serantau.

Bagi kategori lelaki senior veteran, gelaran juara menjadi milik peserta dari Thailand, Prasoet Phaisan yang mencatat masa 3 jam 27 minit, manakala kategori veteran dimenangi Mohd Zulkarnain dengan rekod 3 jam 33 minit.

Dalam kategori wanita, Hasnita Asis muncul juara wanita terbuka,sementara Bee Hong Ewe dan Tammy Chew masing-masing menjuarai kategori senior veteran dan veteran.

Program anjuran Perbadanan Labuan bersama rakan strategik itu berjaya menarik penyertaan seramai 3,367 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Thailand, India, Ireland, Malawi, Rusia, Kanada, Filipina, Amerika Syarikat dan Britain.

Selain acara utama 42 kilometer, turut dipertandingkan ialah kategori 21 kilometer, 10 kilometer dan 3 kilometer Fun Walk yang berlangsung meriah di sekitar Labuan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, diiringi Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Secara keseluruhan, hadiah wang tunai ditawarkan berjumlah RM58,848 selain tajaan kasut larian jenama Brooks bernilai RM27,318 sebagai hadiah podium.

Kejayaan penganjuran Pearl of Borneo Marathon 2026 dilihat mampu membuka peluang kepada acara itu untuk disenaraikan dalam Borneo Marathon Series pada masa hadapan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai destinasi pelancongan sukan serantau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.