
NEW DELHI, 7 Jun – Gelombang bantahan golongan muda di India semakin memuncak apabila kumpulan dikenali sebagai Cockroach Janta Party (CJP) mengadakan protes besar-besaran buat pertama kali, hari ini.
- Pengasas Abhijeet Dipke tiba di New Delhi mendesak Menteri Pendidikan Dharmendra Pradhan meletak jawatan.
- CJP bermula sebagai gerakan dalam talian sejak pertengahan Mei dan pantas meraih jutaan sokongan dalam kalangan belia.
- Dipke bimbang berisiko ditahan sebaik pulang ke India selepas dua tahun menetap di Amerika Syarikat.
- Isu peluang pekerjaan dan integriti sistem pendidikan mencetuskan kemarahan belia terhadap pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi.
Perhimpunan itu diketuai pengasasnya, Abhijeet Dipke, yang tiba di New Delhi bagi mendesak Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan, meletak jawatan.
CJP yang bermula sebagai gerakan dalam talian sejak pertengahan Mei lalu, pantas meraih jutaan sokongan, khususnya dalam kalangan generasi muda yang tidak berpuas hati terhadap isu pengangguran dan kebocoran kertas peperiksaan.
Dipke sebelum ini menyatakan kebimbangan kemungkinan ditahan sebaik pulang ke India, selepas menetap di Amerika Syarikat selama dua tahun.
Gerakan tersebut kini menjadi simbol bantahan terbesar golongan belia terhadap pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi yang telah memerintah selama lebih sedekad.
India mempunyai hampir 400 juta penduduk berusia antara 15 hingga 29 tahun, dengan kadar pengangguran belia di kawasan bandar mencecah hampir 14 peratus setakat April lalu.
Isu peluang pekerjaan dan integriti sistem pendidikan dilihat antara cabaran utama yang terus mencetuskan kemarahan generasi muda di negara itu.-REUTERS