Kerajaan cadang tubuh badan akreditasi khas TVET

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Jun – Sebuah badan akreditasi khas untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dicadang diwujudkan bagi menyelaras penilaian serta pengiktirafan bidang berkenaan tanpa menjejaskan peranan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem sedia ada memisahkan fokus akademik dan kemahiran, menjadikan TVET perlukan penyelarasan yang lebih menyeluruh.
  • Cadangan badan akreditasi khusus dibincangkan bersama pihak berkaitan termasuk Menteri Pendidikan Tinggi dan MQA serta JPK.
  • GTPC berperanan sebagai jambatan nasional menghubungkan bakat TVET dengan keperluan industri bagi penempatan dan pembelajaran berasaskan kerja.
  • Kerjasama strategik dengan industri, termasuk sokongan FMM dan 10,000 syarikat menandatangani MoA, meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata ia dibuat memandangkan sistem sedia ada ketika ini memisahkan fokus antara akademik dengan kemahiran, manakala TVET memerlukan badan khusus bagi penyelasaran yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Penempatan TVET Badan Penyelarasan TVET Kerajaan-Industri (GTPC) di sini hari ini.

“MQA di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi tumpuan kepada bidang akademik, manakala JPK di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memberi fokus kepada aspek kemahiran.

“Memandangkan kita mempunyai 1,395 institusi TVET, pendekatan yang lebih baik ialah melaksanakan akreditasi menerusi sebuah badan khas tanpa mengganggu proses akreditasi yang sedang dijalankan oleh MQA dan JPK ketika ini.

“Pendekatan ini selaras dengan amalan beberapa negara maju yang mempunyai badan akreditasi berasingan bagi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional, dan model seperti ini boleh dicontohi Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata cadangan penubuhan badan akreditasi khusus bagi TVET itu telah dibincangkan dengan pihak berkaitan termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

KPT turut memberikan komitmen terhadap usaha berkenaan manakala perbincangan lanjut akan diadakan bersama MQA dan JPK bagi memperincikan cadangan tersebut.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau menegaskan GTPC memainkan peranan penting sebagai jambatan nasional yang menghubungkan bakat TVET dengan keperluan industri.

Beliau berkata menerusi GTPC, proses penempatan latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja (WBL), perantisan, peluang pekerjaan serta pemadanan bakat dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.

“Saya mahu GTPC menjadi instrumen bagi negara membaca keperluan sebenar pasaran. Sektor mana yang memerlukan bakat, kemahiran apa yang semakin bernilai dan bagaimana peluang industri boleh disalurkan dengan lebih pantas kepada anak-anak TVET negara,” katanya.

Kerjasama strategik antara institusi TVET dan pemain industri turut menyumbang kepada peningkatan kadar kebolehpasaran graduan menerusi penyelarasan program latihan mengikut keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

Beliau berkata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang mempunyai kira-kira 13,000 syarikat anggota memainkan peranan penting dalam usaha itu, dengan 10,000 syarikat telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Majlis TVET Negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.