
KEMAMAN, 5 Jun- Seorang pengutip barangan lusuh tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Gong Pasir, Chukai, awal pagi tadi.
- Stor barangan lusuh dan kotak terpakai serta sebuah motosikal milik pemilik musnah dalam kebakaran.
- Pemilik Abu Bakar, OKU mental akibat kemalangan 30 tahun lalu, pulang dan temui rumah dibakar, kecewa kehilangan barang jualan.
- JBPM Terengganu hantar 15 anggota dan dua jentera; kebakaran dikawal 4.41 pagi, operasi tamat 5.00 pagi, punca dan kerugian disiasat.
Kejadian sekitar pukul 3.40 pagi itu turut memusnahkan rumah yang dijadikan stor penyimpanan pelbagai barangan lusuh dan kotak terpakai.
Pemilik rumah, Abu Bakar Zakaria, 67, tidak berada di rumah ketika kejadian kerana mempunyai urusan di Bandar Chukai.
Beliau yang juga orang kurang upaya (OKU) mental akibat kemalangan jalan raya kira-kira 30 tahun lalu hanya menyedari kejadian itu selepas pulang ke rumah dan mendapati api sedang marak membakar kediamannya.
“Sedih itu memang sedih, barang-barang yang saya nak jual semua dah tiada,” katanya.
Abu Bakar berkata kebakaran itu turut memusnahkan sebuah motosikal yang digunakan untuk mencari rezeki.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu memaklumkan seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai dan Kemaman bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Kebakaran berjaya dikawal pada 4.41 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.00 pagi.
Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.