Bursa Malaysia dibuka tinggi

Sentimen positif berkaitan tender LSS6 dijangka menyokong kaunter tenaga boleh baharu dan berkaitan solar

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, berbanding prestasi serantau, disokong sentimen positif tempatan susulan pengumuman mengenai tender Solar Berskala Besar 6 (LSS6) yang dijangka dibuka pada penghujung tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • FBM KLCI naik 6.80 mata kepada 1,679.54 pada 9.10 pagi.
  • Kaunter rugi mengatasi kaunter untung 246 berbanding 164, 326 tidak berubah, 1,922 tidak diniagakan.
  • Sentimen pasaran terjejas ketegangan AS-Iran; Wall Street ditutup rendah, dan pasaran tempatan dijangka bergerak antara 1,670 hingga 1,685.

Penganalisis berkata sentimen positif berkaitan tender LSS6 dijangka menyokong kaunter tenaga boleh baharu dan berkaitan solar, khususnya syarikat yang terlibat dalam kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar serta pembangunan projek.

Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.80 mata atau 0.40 peratus kepada 1,679.54 daripada 1,672.74 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 1.75 mata lebih tinggi pada 1,674.49.

Bagaimanapun, sentimen pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 246 berbanding 164, manakala 326 kaunter tidak berubah, 1,922 tidak diniagakan dan 12 digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 171.82 juta saham bernilai RM103.66 juta.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.97 peratus kepada 25,384.81, Indeks Straits Times Singapura turun 0.82 peratus kepada 5,096.17, Nikkei 225 Jepun merosot 1.73 peratus kepada 67,216.27 dan Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan berkurangan 1.72 peratus kepada 8,629.08.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee Shen Pin berkata kalangan peniaga mengambil pendekatan lebih berhati-hati berikutan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang semakin memuncak tanpa sebarang petunjuk penyelesaian dalam masa terdekat.

Mengenai pasaran global, beliau berkata Wall Street ditutup rendah dengan ketara apabila ketegangan di Asia Barat meningkat susulan serangan terbaharu Iran ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait.

Di peringkat domestik, beliau menjangkakan pasaran tempatan bergerak dalam julat 1,670 hingga 1,685 hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat lapan sen kepada RM10.50, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing naik dua sen kepada RM4.76 dan RM14.10, CIMB menambah lima sen kepada RM7.25, manakala IHH Healthcare susut empat sen kepada RM8.72.

Bagi saham aktif, VS Industry turun setengah sen kepada 21.5 sen, Bus Cap meningkat 1.5 sen kepada 33 sen, GIIB Holdings naik setengah sen kepada 45 sen dan Guan Chong menambah dua sen kepada RM1.07. Velesto tidak berubah pada 30.5 sen.

Antara kaunter untung utama, Ajinomoto meningkat 26 sen kepada RM14.50, Ayer Holdings naik 16 sen kepada RM7.36, SD Guthrie menambah 13 sen kepada RM5.97, Samchem meningkat 10 sen kepada 53 sen dan KL Kepong naik lapan sen kepada RM19.58.

Bagi kaunter rugi utama, Malaysian Pacific Industries susut 28 sen kepada RM48.62, Hong Leong Industries turun 22 sen kepada RM18.44, Allianz berkurangan 12 sen kepada RM20.98, manakala Malayan Cement dan MI Technovation masing-masing merosot tujuh sen kepada RM6.87 dan RM4.99.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 33.64 mata kepada 12,546.32, Indeks FBM Top 100 naik 34.96 mata kepada 12,382.46 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 7.44 mata kepada 12,588.82.

Sementara itu, Indeks FBM Mid 70 susut 12.37 mata kepada 18,393.85 dan Indeks FBM ACE berkurangan 8.99 mata kepada 4,716.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 120.78 mata kepada 19,441.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.52 mata kepada 200.27, Indeks Tenaga naik 0.1 mata kepada 788.11, manakala Indeks Perladangan meningkat 65.09 mata kepada 8,515.52. – BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.