
KUALA TERENGGANU, 3 Jun – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian seorang remaja, 19 Mei lepas.
- Didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas memandu secara berbahaya.
- Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
- Lesen memandu tertuduh digantung serta-merta sehingga kes selesai.
Tertuduh berusia 43 tahun itu membuat pengakuan berkenaan, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin di Mahkamah Majistret di sini.
Mengikut pendakwaan, tertuduh didakwa memandu sebuah kereta secara berbahaya pada 19 Mei, kira-kira pukul 3.36 petang sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa Wah Han Keong, 18 tahun.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mahkamah kemudian, membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Selain, lesen memandu tertuduh digantung serta-merta sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Ogos depan.
Pada 19 Mei lepas, kenderaan dipandu tertuduh hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan tiang Jabatan Kerja Raya, JKR dan memasuki laluan bertentangan.
Tiang yang tumbang menembusi cermin sebuah van dinaiki mangsa dan bapanya mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi.