
KUALA LUMPUR, 2 Jun – Penghantaran manuskrip bagi Projek Penerbitan Buku Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) – Malaysia MADANI Fasa 3 kini dibuka kepada penulis tempatan bermula hari ini (2 Jun) sehingga 31 Disember ini.
- Projek bertujuan memperkukuh industri buku negara melalui penerbitan karya berkualiti untuk diedarkan di sekolah dan kepada masyarakat umum.
- Pemilihan manuskrip berlaku berdasarkan mutu dan merit; keutamaan diberikan kepada penyertaan lebih awal; manuskrip ditolak sebelum ini boleh dipertimbangkan semula.
- Manuskrip terpilih akan diterbitkan secara profesional dengan cetakan awal 1,000 naskhah setiap judul dan penulis menerima bayaran royalti pendahuluan.
Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, projek yang mendapat sokongan kerajaan itu bertujuan memperkukuh pembangunan industri buku negara menerusi penerbitan karya-karya berkualiti untuk edaran di sekolah serta kepada masyarakat umum.
Menurut beliau, pemilihan manuskrip akan dibuat berdasarkan kualiti karya, selain memberi keutamaan kepada penyertaan yang diterima lebih awal.
“Manuskrip yang pernah ditolak sebelum ini masih berpeluang untuk dipertimbangkan semula sekiranya penulis mengemukakan karya lain yang memenuhi standard kualiti yang ditetapkan.
“Penilaian akan dibuat berdasarkan merit dan mutu manuskrip yang dihantar, tanpa mengambil kira rekod penyertaan terdahulu.
“Program ini terbuka kepada penulis dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, serta kepada penulis daripada pelbagai latar belakang kaum.
“Bagaimanapun, karya dalam Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan diberikan keutamaan.
“Karya dwibahasa juga boleh dipertimbangkan, termasuk yang mengandungi unsur terjemahan, tertakluk kepada kualiti dan kesesuaiannya untuk diterbitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pelancaran fasa ketiga projek berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.
Hadir sama, Pengarah projek itu, Mohd Khair Ngadiron.
Antara kategori yang ditawarkan ialah novel dan cerpen dewasa, novel remaja, buku bergambar kanak-kanak, buku umum dan kumpulan puisi.
Jelas Dr Mohamad Saleeh lagi, manuskrip yang terpilih akan diterbitkan secara profesional dengan cetakan awal sebanyak 1,000 naskhah bagi setiap judul, selain penulis turut menerima bayaran royalti pendahuluan.
Sementara itu, Mohd Khair turut menyifatkan pelaksanaan projek sebelum ini telah membuktikan keberkesanannya dalam melahirkan karya berkualiti apabila banyak buku yang diterbitkan berjaya meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan.
Menurut beliau, lebih 30 peratus daripada buku yang diterbitkan menerusi fasa pertama turut dicetak semula berikutan permintaan yang menggalakkan daripada pembaca.
“Ramai beranggapan hanya penulis menerima manfaat daripada projek ini.
“Namun hakikatnya, keseluruhan ekosistem industri perbukuan turut menerima kesan positif termasuk syarikat percetakan, ilustrator, penyunting, pengatur huruf dan pembaca pruf.
“Selepas setiap fasa projek dilaksanakan, PENA turut menyediakan laporan lengkap kepada Perdana Menteri sebagai bukti keberkesanan program serta pencapaian yang telah diraih.
“Kejayaan projek ini diteruskan adalah hasil daripada penerbitan karya-karya berkualiti serta pengurusan dan pelaporan yang telus oleh pihak persatuan,” kata Mohd Khair.
Dalam perkembangan sama, Mohd Khair yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 berkata, sambutan terhadap projek berkenaan terus menunjukkan peningkatan apabila Bengkel Pencarian Manuskrip yang diadakan hari ini berjaya menarik kehadiran kira-kira 120 peserta berbanding sasaran awal seramai 70 peserta.
Mohd Khair berkata, sambutan tersebut membuktikan masih terdapat permintaan tinggi dalam kalangan penulis untuk mendapatkan peluang menerbitkan karya mereka melalui platform yang disediakan.
Sejak diperkenalkan pada 2024, projek itu berjaya menerbitkan lebih 128 judul buku membabitkan lebih 150 penulis tempatan, selain mengedarkan bahan bacaan ke 2,292 sekolah menengah, 20 universiti awam dan perpustakaan desa di seluruh negara.