TVET halal: Sudah bersediakah Malaysia melahirkan bakat industri halal masa depan?

FOTO JANAAN AI

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Industri halal kini kompleks, memerlukan kompetensi rentas disiplin seperti AI, halal traceability, audit risiko dan pengurusan rantaian bekalan, bukan sekadar pensijilan.
  • NOSS dan HIOF membantu struktur pekerjaan halal, namun data graduan SKM halal tidak diselaraskan, menyukarkan pemetaan bakat terhadap keperluan industri.
  • TVET halal perlu pembelajaran sepanjang hayat, model fleksibel dan ekosistem bakat nasional untuk melahirkan profesional halal bertaraf global dan bakat eksport.

Hari TVET Negara merupakan suatu manifestasi komitmen negara dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Sambutan ini bukan sekadar acara simbolik, bahkan membawa mesej yang lebih mendalam terhadap transformasi landskap pendidikan negara daripada paradigma pendidikan berorientasikan akademik semata-mata kepada keseimbangan antara keilmuan, kompetensi dan kebolehpasaran bakat.

Sambutan ini juga memperlihatkan komitmen negara menyediakan wahana strategik terhadap pembangunan ekosistem modal insan yang lebih responsif terhadap keperluan industri masa hadapan.

Pada era ekonomi digital dengan automasi dan persaingan global yang semakin kompleks, pembangunan industri halal masa kini menuntut pembangunan bakat yang lebih dinamik, multidisiplin dan bersifat masa hadapan (future-ready talent), dan tidak lagi bergantung semata-mata kepada pensijilan produk semata-mata.

Dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global, persoalan yang signikan untuk dijawab ialah: Adakah negara benar-benar bersedia melahirkan bakat industri halal masa depan?

Hari TVET Negara dan Evolusi Pendidikan Kemahiran

Walaupun istilah TVET semakin melonjak naik dan mula mendominasi perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hakikatnya pendidikan kemahiran di Malaysia telah telah melalui evolusi yang panjang.

Sebelum era penjenamaan TVET, sistem pendidikan negara lebih lazim menggunakan istilah seperti Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV), pendidikan vokasional, pendidikan teknikal dan latihan kemahiran.

Pada ketika itu, masyarakat lebih mengenali nama institusi seperti politeknik, kolej vokasional, GIATMARA dan Institut Kemahiran MARA (IKM), berbanding memahami keseluruhan falsafah pendidikan kemahiran.

Pendidikan kemahiran sering dianggap sebagai laluan alternatif kepada pendidikan universiti, malah tidak dinafikan bahawa persepsi sosial turut meletakkannya sebagai pilihan kedua bagi pelajar yang kurang cemerlang dalam pendidikan akademik arus perdana.

Bagaimanapun, landskap ekonomi global mula mengubah naratif tersebut dengan ledakan Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan (artificial intelligence), automasi industri, ekonomi digital dan teknologi pintar.

Permintaan terhadap tenaga kerja mahir yang mampu mengendalikan sistem berteknologi tinggi menjadi semakin meningkat dan memaksa negara melakukan anjakan paradigma terhadap pendidikan kemahiran.

Maka, penjenamaan TVET secara lebih menyeluruh sebagai identiti nasional bukan sekadar perubahan istilah, malah menjadi usaha sistematik untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa laluan kemahiran juga mampu melahirkan tenaga profesional, teknologi dan pakar industri yang kompeten.

Pengisytiharan Hari TVET Negara sejak tahun 2022 menjadi simbol penting kepada perubahan tersebut.

Sambutan ini berfungsi sebagai platform meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan tenaga mahir dalam pembangunan negara serta usaha memposisikan TVET sebagai pilihan pendidikan arus perdana, dan pada yang sama selari dengan amalan antarabangsa.

Lebih signifikan, statistik semasa menunjukkan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap TVET dengan jumlah pelajar TVET di Malaysia kini menghampiri setengah juta orang.

Ini secara tidak langsung mencerminkan perubahan persepsi masyarakat terhadap pendidikan kemahiran sebagai laluan kerjaya yang berdaya maju.

Industri Halal Tidak Lagi Bersifat Tradisional

Perbincangan tentang industri halal sering kali tertumpu kepada pengeluaran makanan halal, audit pematuhan dan pensijilan.

Hakikatnya, industri halal pada masa kini jauh lebih kompleks dengan ekonomi halal global yang berkembang merangkumi sektor bukan makanan seperti kosmetik dan farmaseutikal, perkhidmatan halal seperti logistik, gaya hidup halal seperti pelancongan dan media, kewangan Islam, dan pelbagai subsektor lain.

Jika suatu ketika dahulu industri halal hanya memerlukan pegawai dokumentasi halal atau Eksekutif Halal, maka industri masa kini memerlukan tenaga kerja yang memiliki kompetensi rentas disiplin seperti pengurusan risiko halal, analitik data halal, teknologi kebolehkesanan (halal traceability), integrasi kecerdasan buatan dalam jaminan halal, pengurusan rantaian bekalan halal, tadbir urus dan strategi regulatori halal global, selain asas disiplin fiqh yang kukuh.

Ini bermaksud pembangunan bakat halal tidak lagi boleh difahami secara sempit sebagai latihan prosedur pensijilan, sebaliknya perlu bergerak ke arah pembangunan ekosistem kompetensi halal berasaskan pekerjaan (occupation-based competency ecosystem).

NOSS Halal dan Kerangka Pekerjaan Industri Halal

Dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat halal negara, Malaysia telah membangunkan beberapa National Occupational Skills Standards (NOSS) berkaitan halal melalui sistem pensijilan kemahiran negara di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

NOSS halal memainkan peranan penting sebagai standard kompetensi pekerjaan yang menghuraikan fungsi kerja, tahap kemahiran, hasil pembelajaran dan kompetensi yang perlu dimiliki oleh individu dalam bidang halal tertentu.

Pendekatan ini penting kerana TVET pada asasnya merupakan pendidikan yang berpaksikan pekerjaan (occupation-driven education), bukannya hanya disiplin ilmu semata-mata.

Selain itu, pembangunan Halal Industry Occupational Framework (HIOF) turut menjadi langkah strategik dalam mengenal pasti struktur pekerjaan halal dan kompetensi berkaitan industri.

Kerangka ini membantu memetakan fungsi pekerjaan halal serta mewujudkan laluan kompetensi yang lebih sistematik.

Namun demikian, terdapat satu jurang besar yang masih perlu diberi perhatian.

Sehingga hari ini, data terbuka berkaitan jumlah graduan SKM halal secara khusus masih agak terhad di agensi tertentu dan tidak diselaraskan secara komprehensif di bawah satu institusi yang bepusat.

Kekurangan data ini menyukarkan proses pemetaan sebenar antara penawaran bakat halal, keperluan industri dan unjuran pekerjaan masa depan.

Lebih membimbangkan, banyak organisasi halal masih melihat fungsi halal sebagai fungsi sokongan pematuhan (compliance support) dan bukannya profesion strategik yang memerlukan kepakaran khusus.

Akibatnya, jawatan seperti Eksekutif Halal menjadi terlalu umum tanpa laluan kerjaya yang jelas dan hanya menjadi jalan untuk berlepas diri daripada mendapat ketidakakuran semasa audit halal.

TVET Halal dan Kepentingan Pengajian Sepanjang Hayat

Dalam ekonomi masa hadapan, pembangunan bakat tidak lagi boleh bergantung kepada model pendidikan sekali seumur hidup.

Realiti industri masa kini memperlihatkan bahawa kitaran kompetensi pekerja akan menjadi lebih pantas dan lapuk dengan lebih cepat akibat perubahan teknologi.

Justeru, konsep pengajian sepanjang hayat (lifelong learning) menjadi semakin penting dalam konteks TVET halal.

Pengajian sepanjang hayat tidak lagi sekadar bermaksud kembali belajar di universiti, tetapi merangkumi upskilling (peningkatan kemahiran), reskilling (kemahiran semula), mikro-kredensial atau latihan modular, pembelajaran digital atau pensijilan profesional berterusan.

Seorang pegawai halal masa hadapan misalnya tidak cukup sekadar memahami prosedur pensijilan halal semasa, tetapi perlu bersedia mempelajari penggunaan kepintaran buatan (AI) dalam audit halal, blockchain traceability, pengesanan risiko rantaian bekalan dan teknologi forensik halal.

Dalam konteks ini, TVET halal masa depan memerlukan model pembelajaran yang lebih fleksibel dan berterusan, bukannya berakhir sebaik sahaja seseorang memperoleh siji, diploma atau ijazah.

Sebagaimana ditegaskan oleh UNESCO, pendidikan abad ke-21 menuntut masyarakat yang mampu belajar, menyesuaikan diri dan meningkatkan kompetensi secara berterusan sepanjang kehidupan.

Masa Depan TVET Halal: Ke Arah Ekosistem Bakat Halal Nasional

Masa depan TVET halal tidak seharusnya hanya berkisar tentang melahirkan lebih ramai pekerja halal, tetapi lebih penting lagi ialah melahirkan bakat halal yang tepat untuk pekerjaan halal masa depan sehingga menjadi pakar dan professional halal yang disigenani.

Malaysia memerlukan anjakan daripada pendekatan latihan halal yang terlalu tertumpu kepada pematuhan pensijilan kepada model pembangunan ekosistem bakat halal nasional, yang menghubungkan institusi TVET, universiti, industri, badan pensijilan, regulator dan penyelidikan dalam satu sistem yang saling melengkapi.

Malaysia mempunyai peluang besar untuk muncul sebagai hab pembangunan dan pengeksportan bakat halal antarabangsa dalam melengkapkan ekosistem hab halal global.

Dalam konteks ekonomi global yang sedang mengalami keterbatasan sumber tenaga kerja halal yang kompeten, negara berpotensi melahirkan dan “mengeksport” tenaga profesional halal yang memiliki gabungan kompetensi syariah, teknikal, digital dan pengurusan industri.

TVET halal berpotensi menjadi instrumen strategik diplomasi ekonomi dan modal insan negara, sebagaimana sesetengah negara mengeksport kepakaran teknikal seperti kejuruteraan atau penjagaan kesihatan ke pasaran antarabangsa.

Sempena Hari TVET Negara yang akan disambut pada 5 hingga 7 Jun ini dengan tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, persoalannya bukan lagi sama ada TVET relevan atau tidak.

Sebaliknya, perkara pokok yang perlu dirungkai ialah: Sudah bersediakah Malaysia melakukan transformasi daripada sekadar melahirkan pekerja halal kepada membangunkan generasi profesional halal bertaraf global, yang bukan sahaja memenuhi keperluan negara, tetapi mampu menjadi bakat eksport strategik Malaysia kepada ekonomi halal dunia?

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Ts Mohd Fadhli Ab Rahman
Pengarah Halal Advisory & Research Institute Selangor (HARIS)
Pensyarah, Jabatan Pengurusan dan Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor (UIS)

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.