Dataran Putrajaya jadi lokasi sambutan Hari TVET Negara 2026

Foto hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 2 Jun Dataran Putrajaya bakal menjadi tumpuan apabila dipilih sebagai lokasi penganjuran Sambutan Hari TVET Negara 2026 yang akan menghimpunkan lebih 107 agensi, institusi, dan pemain industri daripada sembilan sektor utama, bermula Jumaat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sambutan tiga hari bertujuan mengangkat TVET sebagai agenda nasional.
  • Pengunjung dapat meneroka kursus, teknologi industri dipamerkan dan hampir 3,000 peluang kerjaya melalui karnival pekerjaan.
  • Penglibatan pempamer China dan musim cuti persekolahan dijangka tingkatkan kerjasama antarabangsa serta kehadiran ibu bapa dan pelajar.

Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Ts. Dr. Azmir Mohd Yunus berkata, sambutan selama tiga hari itu merupakan usaha berterusan pihak kerajaan bagi mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai agenda nasional.

Beliau menjelaskan sembilan sektor utama yang terlibat merangkumi bidang aeroangkasa, elektronik dan digital, pertanian, pengangkutan dan automotif, pembuatan termaju, perkhidmatan, rel, maritim serta sektor tenaga.

“Melalui penglibatan sektor-sektor ini, pelajar boleh melihat dalam satu ekosistem yang sama, apakah kursus yang ditawarkan dan potensi kerjaya masa hadapan mereka. Pihak industri yang terlibat juga akan membawa teknologi terkini untuk dipamerkan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam program ‘Selamat Pagi Malaysia’ terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri, di sini hari ini.

Menurut Azmir, selain pameran teknologi, program berkenaan turut membuka peluang kebolehpasaran yang luas kepada pengunjung dengan penawaran hampir 3,000 kekosongan jawatan menerusi karnival kerjaya yang disediakan sepanjang sambutan berlangsung.

Mengulas lanjut, beliau berharap penganjuran edisi kali ini yang bertembung dengan musim cuti persekolahan dapat menarik kehadiran lebih ramai pengunjung, khususnya dalam kalangan ibu bapa bersama anak-anak untuk meneroka peluang pendidikan masa depan.

Sambutan Hari TVET Negara 2026 kali ini turut menampilkan kelainan dengan penglibatan 30 pempamer dari China, sekali gus memperkukuh jalinan kerjasama antarabangsa dalam memperkasa pembangunan ekosistem TVET tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.