
KUALA LUMPUR, 2 Jun – Kemasukan pelajar ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mencatatkan peningkatan ketara kepada kira-kira 459,000 orang tahun lepas, berbanding 344,000 pelajar pada 2020.
- TVET semakin diiktiraf dan menjadi pilihan utama masyarakat.
- Usaha proaktif kerajaan dan pihak berkepentingan memperkasa ekosistem TVET.
- Kesedaran ibu bapa meningkat terhadap kelebihan serta peluang kerjaya TVET.
- Lulusan TVET bukan sahaja mendapat pekerjaan malah boleh sambung pengajian hingga peringkat ijazah.
Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Ts. Dr. Azmir Mohd Yunus berkata, perkembangan positif itu membuktikan bahawa TVET kini semakin diiktiraf dan mula menjadi pilihan utama dalam kalangan masyarakat untuk melanjutkan pengajian.
Menurut beliau, trend peningkatan terbabit didorong oleh usaha proaktif kerajaan bersama pihak berkepentingan dalam memperkasa ekosistem TVET, sekali gus meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap kelebihan serta peluang kerjaya yang ditawarkan melalui aliran berkenaan.
“Kita memang lihat ada peningkatan dari segi minat dan juga kesedaran ibu bapa. TVET sekarang, apabila kita masuk (aliran ini) kita bukan berakhir di situ.
“Selain daripada peluang pekerjaan, mereka juga boleh sambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sehingga ke peringkat ijazah kerana universiti juga telah menerima kemasukan pelajar TVET,” katanya demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam program ‘Selamat Pagi Malaysia’ terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri, di sini hari ini.