Belanjawan 2027: Imbangi pengukuhan fiskal, kesejahteraan rakyat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Keseimbangan Belanjawan 2027 perlu dirangka secara berhemat disokong pengukuhan kedudukan fiskal negara dan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbelanjaan berhemat memastikan setiap ringgit memberi manfaat maksimum, bukan pemotongan menyeluruh.
  • Keutamaan kepada bantuan bersasar dan pelaburan strategik dalam tenaga boleh baharu, teknologi serta pembangunan modal insan untuk pertumbuhan dan kesejahteraan.
  • Perlindungan sosial dan peralihan tenaga mesti dilihat sebagai pelaburan jangka panjang, bukan beban; gunakan PADU untuk elak ketirisan.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sastera & Sains Sosial Universiti Malaya (UM) Dr. Samsul Farid Samsuddin berkata pendekatan berhemah tidak bermaksud mengurangkan perbelanjaan secara menyeluruh, sebaliknya kerajaan perlu memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi manfaat maksimum kepada rakyat dan negara.

Bagi mencapai keseimbangan itu, keutamaan perlu diberikan kepada usaha mempertingkat kesejahteraan rakyat sambil memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang menerusi bantuan dan subsidi bersasar serta pelaburan dalam sektor strategik seperti tenaga boleh baharu, teknologi dan pembangunan modal insan.

Pada masa sama membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui akses pembiayaan lebih mudah, latihan kemahiran serta sokongan untuk meningkatkan kecekapan operasi.

“Dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara, kebajikan rakyat tidak boleh diketepikan. Kerajaan tidak boleh membuat pemotongan secara sembarangan terhadap bantuan sosial dan perkhidmatan kesihatan awam semata-mata untuk mengurangkan defisit.

“Perbelanjaan bagi perlindungan sosial dan peralihan tenaga perlu dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang, bukannya beban kepada negara,” katanya ketika dihubungi RTM.

Dalam pada itu, penggunaan data yang tepat menerusi sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan maklumat sosioekonomi lain penting bagi memastikan bantuan serta insentif sampai kepada kumpulan sasar selain mengelakkan ketirisan.

Dr. Samsul Farid berpandangan, Belanjawan 2027 perlu menjadi pelan tindakan serampang dua mata yang membantu rakyat menghadapi cabaran semasa serta memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan negara untuk jangka panjang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.