Tekanan ekonomi global: Belanjawan 2027 dijangka lebih berhemat

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Belanjawan 2027 dijangka memberi penekanan kepada pengurusan fiskal yang lebih berhemat dan berkesan susulan ketidaktentuan ekonomi global serta peningkatan komitmen perbelanjaan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semakan Belanjawan 2026 dianggap langkah progresif dan proaktif untuk mengekalkan kemampanan kewangan negara.
  • Andaian harga minyak awal tidak tepat akibat geopolitik, menyebabkan unjuran pendapatan dan perbelanjaan perlu disemak.
  • Perbelanjaan subsidi bahan api meningkat berkali ganda, dari sekitar RM700 juta ke RM5 hingga RM6 bilion sebulan.
  • Kerajaan perlu susun semula keutamaan perbelanjaan, rakyat digesa berbelanja berhemah menghadapi tekanan inflasi.

Pakar ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan langkah kerajaan menilai semula Belanjawan 2026 merupakan tindakan yang progresif dan proaktif bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Menurut beliau, unjuran asal Belanjawan 2026 dibuat berdasarkan andaian harga minyak mentah antara 65 hingga 70 dolar Amerika setong, namun perkembangan geopolitik di Asia Barat telah menyebabkan harga komoditi itu meningkat kepada sekitar 90 hingga melebihi 100 dolar Amerika setong.

Katanya, walaupun kenaikan harga minyak memberi manfaat kepada pendapatan negara melalui sektor petroleum, kerajaan pada masa sama berdepan tekanan fiskal yang lebih besar, khususnya bagi menampung kos subsidi bahan api.

Beliau menjelaskan perbelanjaan subsidi bahan api yang sebelum ini dianggarkan sekitar RM700 juta sebulan kini meningkat berkali ganda sehingga mencecah antara RM5 bilion hingga RM6 bilion sebulan.

“Kerajaan membelanjakan banyak wang terutamanya untuk subsidi bahan api, bagi menampung kenaikan harga semasa.

“Pengumuman kerajaan dahulu bahawa dahulunya subsidi bahan api adalah hanyalah sekitar RM700 juta sebulan, kini telah meningkat berkali ganda hingga lima ke enam bilion ringgit setiap bulan.

“Jadi seharusnya, seharusnya unjuran ini perlu diperbetulkan, kerana jika tidak, ia akan memberikan kesan yang besar, defisit yang besar kepada kewangan kerajaan,” katanya kepada RTM.

Beliau turut menjelaskan bahawa tekanan inflasi yang dihadapi rakyat bukan sahaja berpunca daripada faktor domestik, malah turut dipengaruhi oleh kenaikan kos pengeluaran dan pengangkutan di negara pembekal utama barangan import.

Menurutnya, negara seperti Indonesia, India dan Thailand turut berdepan peningkatan kos bahan api, sekali gus menyebabkan harga makanan serta keperluan asas yang diimport ke Malaysia menjadi lebih mahal.

Beliau berkata keadaan itu menunjukkan perlunya kerajaan menyusun semula keutamaan perbelanjaan negara bagi memastikan setiap peruntukan memberi impak yang optimum kepada rakyat dan ekonomi.

Pada masa sama, beliau menggesa rakyat mengamalkan perbelanjaan secara berhemat sebagai langkah menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan inflasi yang berterusan.

Jelasnya, semakan semula Belanjawan 2026 boleh menjadi asas penting dalam merangka Belanjawan 2027 yang lebih realistik, responsif dan berupaya memastikan kestabilan fiskal negara dalam jangka panjang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.