Kenaikan harga bahan api di Bangladesh dijangka burukkan tekanan inflasi

Foto REUTERS

DHAKA, 1 Jun – Tekanan inflasi yang melanda Bangladesh dijangka kembali meruncing berikutan keputusan mengejut kerajaan menaikkan harga bahan api utama pada Isnin, ketika negara itu masih bergelut dengan kos barangan keperluan asas yang tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga petrol dinaikkan kepada 140 taka seliter dan minyak tanah kepada 135 taka; harga diesel kekal tidak berubah.
  • Bangladesh mengimport kira-kira 95 peratus bahan api, sebahagian besar dari Asia Barat, terjejas oleh impak perang terhadap Iran.
  • Dhaka memohon pinjaman kecemasan kira-kira AS$2 bilion dan sedang runding bantuan tambahan IMF di luar program AS$5.7 bilion.

Pelarasan harga runcit petrol kepada 140 taka atau (AS$1.14) seliter itu dilaksanakan ketika kadar inflasi negara itu mencecah 9.04 peratus pada April.

Selain itu, pihak berkuasa kini turut sedang mempertimbangkan kenaikan bagi tarif elektrik.

Menerusi langkah pelarasan yang dibuat hanya selang enam minggu selepas kenaikan terakhir itu, harga minyak tanah turut melonjak kepada 135 taka atau (AS$1.09) seliter berbanding 130 taka sebelum ini.

Manakala harga bagi bahan api diesel dilaporkan kekal tidak berubah.

Kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan memandangkan Bangladesh terpaksa mengimport kira-kira 95 peratus daripada keperluan bahan apinya sebahagian besar dari Asia Barat yang terjejas ekoran impak perang terhadap Iran.

Bagi mengurangkan beban kewangan negara, Dhaka pada Mac lalu mengumumkan sedang memohon pinjaman kecemasan sekitar AS$2 bilion daripada penderma pelbagai hala bagi menangani isu keselamatan tenaga yang dicetuskan oleh lonjakan harga komoditi global tersebut.

Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Mei mengesahkan pihaknya sedang dalam proses rundingan untuk pakej bantuan baharu di luar program pinjaman sedia ada bernilai AS$5.7 bilion yang telah bermula sejak tahun 2023.

Selain isu harga minyak, permintaan grid tenaga dilaporkan melonjak drastik pada musim panas apabila suhu di ibu kota Dhaka mencecah 35 darjah Celsius, sekali gus mengakibatkan gangguan bekalan elektrik yang kerap di kawasan luar bandar.

Bagi mengurangkan kebergantungan import jangka panjang, Bangladesh kini giat melaksanakan langkah alternatif termasuk membuka bidaan cari gali gas asli di luar pesisir pantai serta memandu kesediaan operasi loji janakuasa nuklear pertamanya di Ruppur yang kini telah selesai fasa pertama pengisian bahan api uranium. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.