
PADANG BESAR, 30 Mei – Perlis Inland Port (PIP) yang mempunyai kedudukan yang strategik bakal menjadi pintu eksport baharu di rantau ASEAN.
- PIP disokong kemudahan logistik bersepadu, menghubungkan kawasan perindustrian Selatan Thailand dengan pelabuhan utama Malaysia.
- Projek dijangka memacu pembangunan ekonomi Perlis dan wilayah utara Semenanjung sebagai pemangkin pelaburan dan perdagangan.
- Pembinaan spur line menghubungkan PIP ke landasan utama KTMB memperkukuh rangkaian pengangkutan rel dan akses pelabuhan.
- Kerajaan menangani kecurian kabel sebagai isu keselamatan nasional dengan teknologi pemantauan dan pengukuhan undang-undang.
Selain itu, ia turut di sokong dengan kemudahan logistik yang bersepadu, sekali gus berupaya menghubungkan kawasan perindustrian di selatan Thailand dengan pelabuhan utama negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kemudahan itu berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi khususnya di negeri tersebut dan wilayah utara Semenanjung.
“Ini merupakan penghubung penting antara Malaysia dan Thailand. Kita yakin perdagangan dua hala antara kedua-dua negara akan terus meningkat, dan pada masa sama berharap kilang-kilang di selatan Thailand menggunakan perkhidmatan pelesenan pelabuhan ini sebagai pintu masuk pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin-PIP di sini.
Antara komponen terpenting PIP ialah pembinaan ‘spur line’ (laluan sambungan) yang menghubungkan kemudahan tersebut dengan landasan utama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Sementara itu, beliau turut mengulas tentang kes kecurian kabel landasan kereta api yang disifatkan beliau sebagai isu keselamatan nasional.
Ujar beliau, aktiviti haram itu bukan sahaja menganggu perkhidmatan rel tetapi turut mengundang risiko bahaya buat orang ramai.
“Kita sedang meneliti penggunaan teknologi bagi mencegah kejadian ini, termasuk pemasangan sistem pemantauan yang lebih berkesan oleh KTMB dan RAC.
“Selain itu, perbincangan turut diadakan dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memperketatkan undang-undang berkaitan kes kecurian kabel,” katanya.
Mengikut rekod yang dikeluarkan KTMB, Sebanyak 104 kes kecurian kabel berlaku pada tahun lalu, sekali gus menyebabkan lebih 1,300 jam kelewatan kumulatif di seluruh rangkaian KTMB.