Bayaran interim Sabah naik kepada RM1.5 bilion bukti komitmen Kerajaan MADANI

Bulatan utama Jalan Chester di pusat bandar Tawau yang merupakan lokasi tumpuan ekonomi dan sosial masyarakat Tawau/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Kenaikan pembayaran interim bagi Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan hak negeri itu secara berperingkat dan bertanggungjawab.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen menunaikan hak Sabah melalui peningkatan bayaran interim secara berperingkat.
  • Kenyataan Datuk Mustapha menegaskan kepimpinan Perdana Menteri memberi perhatian kepada kepentingan Sabah.
  • Tuntutan 40 peratus hasil masih belum diselesaikan, memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
  • Pendekatan matang dan berhemah diperlukan untuk merealisasikan hak Sabah tanpa menjejaskan kestabilan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud menerusi kenyataan memaklumkan, peningkatan bayaran interim itu mencerminkan kesungguhan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan kepentingan Sabah terus diberi perhatian.

“Jumlah bayaran interim yang diterima Sabah menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun, iaitu RM125.6 juta pada 2022, RM300 juta pada 2023 dan 2024, RM600 juta pada 2025 serta RM1.5 bilion pada tahun ini.

“Perkembangan ini membuktikan bahawa suara dan tuntutan rakyat Sabah bukan sahaja didengari, malah diberikan perhatian serius Kerajaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum perubahan Kerajaan Persekutuan pada 2022, Sabah hanya menerima kira-kira RM26.7 juta setahun walaupun tuntutan 40 peratus hasil termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Datuk Mustapha isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah telah berlarutan selama puluhan tahun memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi mencari penyelesaian menyeluruh.

Pada masa sama, usaha memperjuangkan hak Sabah akan terus diteruskan bagi memastikan penyelesaian yang lebih menyeluruh dapat dicapai selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Pendekatan matang dan berhemah perlu diteruskan bagi memastikan hak Sabah dapat direalisasikan tanpa menjejaskan kestabilan serta hubungan baik dalam Persekutuan Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.