
KUALA LUMPUR, 30 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Lembaga Tabung Haji (TH) atas kejayaan meraih Anugerah Labbaitom daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi buat kali kelima berturut-turut.
- Pengiktirafan mengiktiraf kecemerlangan Malaysia dalam pengurusan dan kebajikan jemaah haji.
- Kejayaan mencerminkan komitmen, profesionalisme dan dedikasi seluruh warga TH serta petugas haji.
- Tahniah juga kepada Amal oleh Malaysia Airlines atas Anugerah Misk Al-Khitam; pengiktirafan mengukuhkan keupayaan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri berkata kejayaan itu mengiktiraf kecemerlangan Malaysia dalam pengurusan dan kebajikan jemaah haji.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen, profesionalisme dan dedikasi seluruh warga TH serta petugas haji yang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dalam mengurus jemaah haji Malaysia,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Amal by Malaysia Airlines (Amal) yang menerima anugerah “Misk Al-Khitam” sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan syarikat itu dalam menguruskan prosedur ketibaan jemaah haji bagi musim 1447 Hijrah.
“Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan serta kecekapan institusi dan syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh mutu perkhidmatan dan mengharumkan nama negara dalam melayani para tetamu Allah SWT,” katanya lagi.
Anugerah Labbaitom merupakan pengiktirafan tahunan yang diberikan kepada pengurus jemaah haji dari seluruh dunia yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan haji oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.