
BIDOR, 29 Mei – Pendakian 16 peserta Trans Spencer Capman di Gunung Batu Putih, Bidor pada 23 Mei lalu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa sekali gus membuktikan aspek keselamatan dipatuhi sepenuhnya kumpulan pendaki terbabit.
- Peserta mendapat kebenaran bertulis memasuki hutan dan diketuai malim gunung berpengalaman.
- Menteri Besar puas hati dengan operasi SAR menyeluruh oleh PDRM dan Jabatan Bomba serta Penyelamat.
- Beliau menyeru orang ramai berdoa dan mengadakan solat hajat sementara usaha pencarian diteruskan mengikut prosedur.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua peserta telah memperoleh kebenaran bertulis untuk memasuki hutan simpan serta diketuai malim gunung berpengalaman.
“Mereka yang terlibat bukan kali pertama masuk hutan. Difahamkan, ini kali kedua mereka memasuki kawasan itu dan jika berjaya, mereka akan datang lagi untuk kali ketiga.
“Jadi, pada saya mereka sudah mengikuti serta mematuhi SOP dan perkara itu tidak menjadi masalah. Cuma, seperti biasa, ini kawasan hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau perkembangan semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin yang masih hilang di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II, Woh di sini.
Setelah meninjau perkembangan semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR), Datuk Seri Saarani berpuas hati dengan gerakan operasi yang dilaksanakan secara menyeluruh dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di kawasan pencarian.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai untuk terus berdoa dan mengadakan solat hajat, sementara usaha pencarian diteruskan mengikut prosedur yang ditetapkan.