PBB sedia rombak struktur kepimpinan, fokus penjimatan

Foto REUTERS

NEW YORK, 29 Mei – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyasarkan untuk mengurangkan, serta memansuhkan jawatan kepimpinan kanan dalam tempoh dua tahun akan datang, sebagai sebahagian daripada usaha pembaharuan badan dunia itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Guterres menyeru pembaharuan tegas dan penjimatan kos susulan krisis kewangan serta yuran belum dibayar oleh beberapa negara.
  • Kemajuan UN80 termasuk pengurangan bajet 2026 dan pemindahan lebih 2,000 jawatan ke hab berkos rendah.
  • Beliau menyeru negara anggota memacu reformasi bercita-cita tinggi agar perubahan terancang, bukan perubahan mahal dan tidak tersusun.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, langkah berkenaan bertujuan memperkemas institusi berusia 80 tahun itu yang dianggap sesetengah pihak terlalu besar dan sarat dengan birokrasi.

Guterres yang bakal menamatkan penggal kedua menerajui PBB pada 31 Disember 2026 telah menggesa pembaharuan tegas dan langkah penjimatan kos, susulan krisis kewangan yang sebahagiannya berpunca daripada yuran belum dibayar, termasuk oleh penyumbang terbesar organisasi itu, iaitu Amerika Syarikat.

Beliau memuji kemajuan ketara dalam reformasi yang dikenali sebagai UN80 setakat ini, termasuk pengurangan bajet 2026 dan pemindahan lebih 2,000 jawatan dari bandar berkos tinggi seperti Geneva dan New York ke hab yang lebih murah.

Namun beliau berkata, langkah tambahan masih diperlukan, sambil menegaskan negara anggota memegang peranan penting dalam usaha itu.

“Pembaharuan sebenar memerlukan keputusan yang sukar. Ini bukan masanya untuk berpuas hati, mementingkan diri sendiri atau melengah-lengahkan tindakan,” katanya pada Perhimpunan Agung PBB di sini.

Menurut Guterres, bajet tahun depan akan merangkumi langkah mengurangkan lapisan hierarki dan memulakan proses pengurangan jawatan peringkat kanan yang akan diteruskan pada 2028.

“Pemindahan operasi ke hab berkos rendah juga akan diteruskan,” katanya.

Menurut dokumen bajet PBB, pelan penjimatan kos bagi 2026 hanya melibatkan pengurangan kecil kakitangan kanan berbanding kakitangan bawahan.

Banyak jawatan itu secara tidak rasmi dikhaskan untuk kuasa-kuasa besar dunia yang mempertahankannya sebagai sumber prestij dan pengaruh.

Dalam ucapannya, Guterres turut menggesa negara anggota supaya memacu reformasi yang lebih bercita-cita tinggi.

“Negara anggota telah mengiktiraf bahawa keperluan untuk reformasi adalah kukuh.

“Sebagai pihak yang memacu proses UN80, anda akan membentuk hasil utamanya, membawa UN80 ke hadapan adalah tanggungjawab bersama.

“Perubahan pasti berlaku, persoalannya sama ada ia akan menjadi reformasi yang dirancang dan strategik atau perubahan yang tidak tersusun, mahal dan dipacu oleh peristiwa di luar kawalan sesiapa,” katanya.

Amerika Syarikat yang berhutang kira-kira AS$4 bilion kepada organisasi itu dan telah mengumumkan rancangan untuk menarik diri daripada banyak badan PBB, berulang kali menggesa supaya PBB menjadi lebih cekap dengan memberi tumpuan kepada keamanan dan keselamatan.

Beberapa individu daripada lima calon yang bersaing untuk menggantikan Guterres sebagai Setiausaha Agung turut menyuarakan keperluan untuk mereformasi atau mencipta semula sistem multilateralisme. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.