Amalan membaca bentuk masyarakat matang, berfikiran luas – PM

Facebook Anwar Ibrahim 
KUALA LUMPUR, 28 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan amalan membaca mampu membentuk masyarakat lebih matang dan berfikiran luas dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.

RINGKASAN BERITA AI
  • Buku mendidik rakyat supaya lebih sabar berfikir dan bijaksana dalam membuat penilaian, mengelak budaya menghukum atau sensasi sementara.
  • Perdana Menteri akan melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 sebagai sokongan berterusan kepada budaya ilmu dan pembacaan.
  • Beliau menggunakan cuti Aidiladha untuk membaca pelbagai karya termasuk sastera dan berkongsi video membaca puisi tentang perjuangan serta ketabahan isteri.

Beliau berkata buku bukan sahaja menjadi sumber ilmu, malah mendidik masyarakat supaya lebih sabar berfikir dan bijaksana dalam membuat penilaian.

“Buku mengajar kita untuk lebih sabar berfikir, lebih matang menilai dan tidak mudah tenggelam dalam budaya menghukum atau sensasi yang singkat usianya.

“Insya-Allah, esok saya akan meluncurkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 sebagai tanda dukungan berterusan terhadap budaya ilmu dan pembacaan dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau mengambil kesempatan cuti Aidiladha pada Rabu untuk membaca beberapa buku kegemaran daripada pelbagai bidang, termasuk sastera sambil merenung perjalanan zaman yang semakin mencabar.

Menerusi video yang dikongsikan dalam hantaran itu, Datuk Seri Anwar turut membacakan beberapa puisi berkaitan perjuangan beliau serta ketabahan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam mendepani cabaran ketika era Reformasi.

PBAKL 2026 ke-43 bakal berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.