Dua penjenayah maut, baki ahli kumpulan samun bersenjata dikesan

Datuk M Kumar/ BERNAMA

KAJANG, 26 Mei – Satu kumpulan samun bersenjata yang ditumpaskan Polis Diraja Malaysai (PDRM) selepas dua anggotanya maut dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan Bahagian Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putra, pada Isnin mendapati kumpulan terbabit aktif di beberapa kawasan di Selangor dan Melaka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konfrontasi berlaku selepas suspek enggan berhenti, melepaskan tembakan; polis membalas bagi menghentikan ancaman keselamatan.
  • Dua lelaki, 25 dan 46 tahun, cedera ditembak; polis merampas revolver .38, peluru, parang, topeng, sarung tangan dan alat pecah rumah.
  • Siasatan mendapati suspek mempunyai lebih 30 rekod jenayah; kumpulan dipercayai mensasarkan rumah berhampiran lebuh raya dan didakwa mengikut Seksyen 307 serta Akta Senjata Api.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, jumlah sebenar kes yang mempunyai kaitan dengan kumpulan itu masih dalam siasatan dan usaha mengesan ahli kumpulan lain yang masih bebas sedang dipergiatkan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian D9 JSJ Bukit Aman sedang menjalankan operasi pencegahan jenayah samun di sekitar Kajang dan Bangi sebelum terserempak sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan polis kemudian mengekori kenderaan terbabit sebelum berjaya memintas sambil memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan.

“Bagaimanapun, suspek enggan berhenti dan terus memecut laju sehingga berlaku pelanggaran. Suspek kemudiannya bertindak melepaskan tembakan ke arah pasukan polis dan bagi menghentikan ancaman keselamatan, polis terpaksa membalas tembakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.

Pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki tempatan berusia lingkungan 25 dan 46 tahun yang berada di bahagian pemandu dan penumpang hadapan mengalami kecederaan akibat terkena tembakan.

Polis turut menemukan sepucuk revolver jenis Smith & Wesson .38 bersama enam butir peluru hidup, tiga kelongsong peluru, empat bilah parang, pakaian, topeng muka, sarung tangan serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

Antara barangan lain yang dirampas termasuk kuku kambing, tukul besi, pemutar skru, pemotong besi, wayar kabel serta tiga keping nombor pendaftaran kenderaan.

Mengulas lanjut, Datuk M Kumar berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai lebih 30 rekod jenayah lampau membabitkan samun berkumpulan, pecah rumah dan curi kenderaan.

“Kumpulan itu dipercayai menyasarkan rumah berhampiran lebuh raya supaya mereka dapat meloloskan diri dengan cepat sejurus melakukan samun.

“Mereka juga memakai topeng muka dan sarung tangan untuk menyembunyikan identiti selain bertindak agresif dengan menggunakan pistol dan parang sekiranya mangsa melawan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.