JPJ Johor keluarkan 1,987 notis menerusi operasi khas Aidiladha

Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2026 di Johor

JOHOR BAHRU, 26 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor merekodkan 1,987 notis P(22) dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya, dengan 17,236 kenderaan, diperiksa sepanjang dua hari pelaksanaan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha 2026 di negeri itu setakat Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesalahan utama direkodkan: tiada Lesen Memandu Kompeten, lesen tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
  • Motosikal merekodkan tindakan tertinggi, diikuti kereta; 1,205 kenderaan dikenakan tindakan dan 33 kenderaan disita.
  • Operasi bertujuan memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta meningkatkan kesedaran keselamatan dan tanggungjawab pengguna jalan raya.

Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin menerusi kenyataan memaklumkan, sebanyak 1,205 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan selain menyita 33 kenderaan kerana tidak selamat berada di jalan raya.

“Motosikal merekodkan jumlah tindakan tertinggi iaitu sebanyak 513 kes, diikuti kereta sebanyak 456 kes. Selain itu, sebanyak 16 tindakan melibatkan bas.

“Bagi kenderaan barangan pula, sebanyak 130 tindakan dikenakan terhadap kenderaan dengan berat tidak melebihi 7,500 kilogram (kg), manakala 53 lagi membabitkan kenderaan melebihi 7,500kg. Dalam pada itu, sebanyak 37 tindakan turut melibatkan lain-lain jenis kenderaan,” menurut kenyataan itu.

Daripada 1,987 kesalahan direkodkan, kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) mencatat jumlah tertinggi iaitu 410 kes atau 21 peratus daripada keseluruhan kesalahan.

Kesalahan melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh pula merekodkan 402 kes bersamaan 20 peratus, manakala tiada perlindungan insurans mencatatkan 342 kes atau 17 peratus.

Selain itu, sebanyak 28 kes atau satu peratus daripada keseluruhan kesalahan direkodkan membabitkan pemandu tanpa lesen vokasional.

Menurut Zulkarnain sembilan kesalahan utama dikesan, termasuk tali pinggang keledar, membawa lebih muatan, dan menggunakan lorong kecemasan.

Kesalahan lain, lesen kenderaan tamat tempoh, tiada lesen memandu kompeten (CDL), serta tiada perlindungan insuran sah. Tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pelaksanaan operasi itu bertujuan memastikan tahap pematuhan terhadap undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap optimum selain meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya mengenai aspek keselamatan dan tanggungjawab semasa menggunakan jalan raya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.