
KUALA LUMPUR, 26 Mei– Kadar inflasi Malaysia yang meningkat kepada 1.9 peratus pada April 2026 daripada 1.7 peratus bulan sebelumnya, disifatkan masih berada pada tahap terkawal berbanding beberapa negara serantau.
- Inflasi masih berada pada tahap terkawal dan dalam julat sasaran Bank Negara Malaysia bagi tahun 2026.
- Tiada keperluan untuk membuat pelarasan Kadar Dasar Semalaman pada mesyuarat akan datang.
- Peningkatan OPR akan menaikkan kos pinjaman serta membebankan pengguna; kerajaan perlu mengimbangi dasar fiskal dan monetari.
- Rakyat disaran berjimat cermat, utamakan simpanan dan keperluan berbanding kehendak akibat ketidaktentuan ekonomi global.
Profesor Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Prof. Dr. Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan berkata, walaupun berlaku peningkatan kecil, namun pendekatan berjaga-jaga perlu bagi memastikan tekanan inflasi tidak meningkatkan kos sara hidup rakyat.
“Walaupun dalam satu keadaan yang terkawal tetapi kerajaan perlu juga mengimbangi di antara dasar fiskal dan juga dasar monetari.”
”Selalunya dasar-dasar yang dilakukan oleh kerajaan objektifnya adalah untuk mencapai harga yang stabil dalam negara dan juga memastikan negara mempunyai satu pertumbuhan ekonomi yang positif dan di samping itu memastikan kadar pengangguran juga kekal terkawal,” katanya selepas Program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.
Tambahnya, kadar inflasi ketika ini yang masih berada dalam julat sasaran antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus bagi tahun 2026 seperti diunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM).
Susulan itu, katanya tiada keperluan untuk membuat pelarasan bagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat akan datang.
Mengulas selanjut, peningkatan OPR daripada paras 2.75 peratus ketika ini berpotensi menyebabkan beban tambahan kepada pengguna dan isi rumah menerusi kos pinjaman yang lebih tinggi.
“Peningkatan kadar faedah menyebabkan kos pinjaman menjadi lebih tinggi. Dalam keadaan rakyat berdepan cabaran kenaikan kos sara hidup, peningkatan kos pinjaman sudah tentu tidak mahu berlaku. Justeru, keadaan ketika ini dilihat masih terkawal,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata rakyat disaran lebih berjimat cermat dan mengutamakan simpanan susulan ketidaktentuan ekonomi global serta kenaikan harga minyak dunia.
Menurut beliau, pengguna juga perlu memberi keutamaan kepada perbelanjaan keperluan berbanding kehendak buat masa ini.