
PUTRAJAYA, 25 Mei– Bekalan ubat-ubatan negara dilaporkan berada pada tahap stabil dan mencukupi, setakat 8 Mei lalu.
- KKM melaksanakan langkah mitigasi berfasa termasuk pemantauan berkala melalui Pasukan Petugas Khas.
- Pengukuhan stok penimbal nasional dan pengaktifan Special Access Pathway mempercepat kelulusan import ubat kritikal.
- Beberapa ubat dan peranti dikategorikan berisiko tinggi, memerlukan pemantauan serta tindakan mitigasi berterusan.
- Kerjasama strategik antarabangsa dan pemerkasaan industri tempatan mempelbagaikan sumber bekalan dan kurangkan kebergantungan import.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi secara berfasa bagi memastikan kestabilan bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan.
Usaha tersebut merangkumi pemantauan bekalan secara berkala menerusi Pasukan Petugas Khas, pengukuhan stok penimbal nasional bagi ubat berisiko tinggi dan mempercepatkan kelulusan import ubat kritikal melalui pengaktifan Special Access Pathway.
“Daripada keseluruhan rekod item ubat-ubatan, sebanyak 72 peratus berada pada tahap risiko rendah, 11.3 peratus risiko sederhana manakala 16.8 peratus lagi dikategorikan sebagai risiko tinggi yang memerlukan pemantauan serta tindakan mitigasi berterusan.”
“Bagi peranti perubatan pula, sebanyak 81.7 peratus dikenal pasti berada pada tahap risiko rendah, 13.5 peratus risiko sederhana dan 4.8 peratus berisiko tinggi. Tahap risiko yang tinggi ini sebahagian besarnya berpunca daripada kebergantungan tinggi terhadap import bahan mentah serta komponen utama,” kata Akmal kepada pada sesi Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Sementara itu, Akmal turut memaklumkan kerajaan turut melaksanakan usaha mempelbagai sumber bekalan menerusi kerjasama strategik dengan beberapa negara termasuk China, Jepun dan Uzbekistan, di samping memperkasa pembangunan industri tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap produk import pada masa hadapan.
Tambahnya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menyarankan KKM agar meningkatkan usaha memastikan ketelusan harga ubat-ubatan yang dijual di farmasi bagi mengelakkan rakyat dibebani kenaikan harga yang tidak wajar.
Jelasnya, sebarang pelarasan kos akan dibuat secara bersasar berdasarkan tahap risiko dan keperluan sebenar supaya tidak menjejaskan akses rakyat terhadap rawatan kesihatan.