
KUALA TERENGGANU, 23 Mei – Sebanyak 29 pasukan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu ditugaskan sepanjang pelaksanaan Ops Hari Raya Aidiladha (HRA) bagi meningkatkan pematuhan undang-undang serta keselamatan pengguna jalan raya di negeri ini.
- Memandu laju jadi fokus utama penguatkuasaan selepas beberapa kemalangan maut baru-baru ini.
- Operasi menumpu sembilan kesalahan utama seperti telefon ketika memandu, tali pinggang, lesen, insurans, topi keledar dan ekzos diubahsuai.
- Penguatkuasaan secara terbuka dan penyamaran, orang ramai disaran guna MyJPJ sertakan lokasi dan waktu aduan.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, operasi kali ini memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama jalan raya termasuk memandu melebihi had laju.
Menurut beliau, kesalahan memandu laju dikenal pasti sebagai antara fokus utama penguatkuasaan susulan beberapa kemalangan maut yang berlaku di Terengganu sejak kebelakangan ini.
Turut diberi perhatian ialah kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, tiada lesen memandu dan perlindungan insurans, tidak memakai topi keledar serta pengubahsuaian ekzos motosikal.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara terbuka dan penyamaran bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Mohd Zamri berkata demikian ketika ditemui pada operasi pemeriksaan mengejut atau ‘snap check’ di sekitar Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, orang ramai disaran menyalurkan maklumat serta aduan melalui aplikasi MyJPJ bagi membantu tindakan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih berkesan.
Bagaimanapun, pengguna diminta memastikan setiap aduan disertakan maklumat lengkap termasuk lokasi dan waktu kejadian bagi memudahkan tindakan diambil pihak berkuasa.