PM minta agensi pembiayaan mikro kerap turun padang bantu penjaja

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Agensi pembiayaan mikro diminta mempergiat usaha ‘turun padang’ secara lebih kerap mendekati penjaja dan usahawan yang memerlukan sokongan, khususnya mereka berdepan kekangan modal.

RINGKASAN BERITA AI
  • PM arah agensi seperti BSN, TEKUN, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar, MARA dan Agrobank turun padang menjelaskan kemudahan pembiayaan.
  • Ramai perniagaan kecil hanya perlukan pinjaman kecil, contohnya RM10,000–RM20,000 untuk memulakan operasi.
  • Kadar bayaran balik tinggi dalam kalangan peminjam berpendapatan rendah; Amanah Ikhtiar: wanita hampir 100%, lelaki sekitar 95%.
  • Pelancaran Skim Khas Usahawan Tani bersama FAMA; kerajaan utamakan pengukuhan kredit mikro, perbincangan BUDI95 ditangguhkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting supaya rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah mendapat penerangan terus mengenai kemudahan pembiayaan yang disediakan kerajaan.

“Kita bincang dengan agensi berkaitan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Agrobank. Cuba kita turun, jangan minta mereka datang ke pejabat.

“Turun dan beritahu manfaatnya. Saya lihat ratusan syarikat kecil memulakan perniagaan, tetapi kadang-kadang mereka hanya perlukan pinjaman RM10,000 atau RM20,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skim Khas Usahawan Tani Agrobank dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pasar Tani Melawati, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa mengadakan sesi ‘walkabout’ bagi menyantuni dan beramah mesra dengan penjaja, usahawan mikro serta pengunjung di situ.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar bayaran balik pembiayaan dalam kalangan peminjam berpendapatan rendah juga sangat baik, sekali gus membuktikan golongan itu mempunyai disiplin kewangan yang tinggi.

“Kalau Amanah Ikhtiar, wanita hampir 100 peratus bayar balik. Lelaki pula sekitar 95 peratus, maksudnya bayar balik,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada agensi terlibat kerana sanggup turun padang untuk memberi penerangan dan memudahkan urusan pinjaman kepada rakyat.

“Tujuannya mesti turun dan sampaikan peluang itu kepada rakyat. Mereka lihat sendiri, ratusan diberi peluang untuk mendapat pinjaman dengan kadar perkhidmatan yang rendah, sekitar empat peratus sahaja,” katanya.

Mengenai pelaksanaan subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) 200 liter sebulan, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian kerana fokus kerajaan ketika ini adalah memperkukuh program kredit mikro untuk penjaja dan peniaga kecil.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.