Iran pertahan uranium tidak akan dibawa ke AS

Gambar diambil pada 2021 menunjukkan mesin pengempar generasi baharu Iran dipamerkan sempena Hari Tenaga Nuklear Kebangsaan di Tehran/Foto fail REUTERS

DUBAI, 22 Mei – Iran sekali lagi menegaskan stok uranium diperkaya miliknya tidak akan dihantar keluar negara, sekali gus merumitkan rundingan damai dengan Amerika Syarikat berhubung program nuklear Tehran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump menegaskan AS akan mendapatkan stok uranium diperkaya Iran, mungkin memusnahkannya untuk menghalang penggunaan senjata nuklear.
  • Rundingan damai masih tiada perkembangan positif, diperburuk sekatan AS terhadap pelabuhan dan kawalan Tehran di Selat Hormuz.
  • IAEA anggar 440.9 kilogram uranium hingga 60 peratus pada Jun 2025; jumlah kini tidak pasti, sebahagian disimpan di Isfahan dan Natanz.

Dua sumber kanan Iran berkata arahan itu dikeluarkan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Mojtaba Khamenei, yang mahu uranium diperkaya kekal di dalam negara.

Trump pada Khamis menegaskan Washington tidak akan membenarkan Iran menyimpan stok uranium diperkaya tahap tinggi miliknya.

“Kami akan mendapatkannya. Kami tidak memerlukannya dan tidak mahukannya. Kami mungkin akan memusnahkannya selepas mendapatkannya, tetapi kami tidak akan membenarkan mereka memilikinya,”

Trump berkata Amerika Syarikat akan mendapatkan bahan berkenaan dan mungkin memusnahkannya bagi mengelakkan ia digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear.

Walaupun gencatan senjata masih berkuatkuasa selepas konflik tercetus pada Februari lalu, namun rundingan damai setakat ini masih belum mencapai sebarang perkembangan positif.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan sekatan AS terhadap pelabuhan Iran serta kawalan Tehran di Selat Hormuz yang terus menjejaskan rundingan damai.

Iran turut mendakwa terdapat pergerakan terbuka dan sulit oleh Washington yang menunjukkan persiapan untuk melancarkan serangan baharu terhadap Tehran.

Menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Iran dianggarkan memiliki 440.9 kilogram uranium diperkaya sehingga 60 peratus ketika Israel-AS menyerang kemudahan nuklear negara itu pada Jun 2025.

Namun jumlah sebenar yang masih tinggal setakat ini tidak dapat dipastikan.

Pada Mac lalu sebahagian besar baki stok uranium Iran dipercayai disimpan di kompleks terowong fasiliti nuklear Isfahan dianggarkan lebih 200 kilogram masih berada di lokasi berkenaan.

IAEA percaya sebahagian lagi uranium diperkaya itu disimpan di kompleks nuklear Natanz yang menempatkan dua loji uranium Iran.

Iran bagaimanapun menegaskan sebahagian uranium diperkaya tahap tinggi diperlukan kira-kira 20 peratus bagi tujuan perubatan dan penyelidikan – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.