‘Singgah’ angkat semangat perpaduan Gawai dan Kaamatan menerusi sentuhan sinematik

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Kemeriahan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan tahun ini diwarnai dengan filem pendek ‘Singgah’ yang mengetengahkan nilai perpaduan, kasih sayang dan kebersamaan rakyat Malaysia dalam kepelbagaian budaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Singgah mengangkat nilai perpaduan, kasih sayang dan kebersamaan melalui naratif sederhana serta emosi yang mudah difahami semua lapisan masyarakat.
  • Penggunaan dialog pelbagai dialek Sabah dan Sarawak, serta elemen budaya seperti makanan, Sumazau dan Ngajat, menguatkan identiti Borneo.
  • Filem pendek membuktikan keupayaan medium sinematik menanam persefahaman sosial dan menyemai semangat perpaduan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Karya ini membawa naratif sederhana namun penuh emosi dengan mengangkat kisah seorang wanita yang terkandas di perantauan sebelum menemui makna sebenar sebuah keluarga dalam masyarakat majmuk.

Menurut Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr Shatesh Kumar Sangar, filem pendek itu bukan sekadar naskhah perayaan, malah menjadi refleksi kepada realiti rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian budaya, bahasa dan kepercayaan.

“Walaupun berdurasi pendek, Singgah berjaya menyampaikan mesej besar tentang perpaduan menerusi pendekatan ringan dan mudah difahami semua lapisan masyarakat.

Ia bukan sekadar filem perayaan tetapi sebuah refleksi tentang realiti rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian budaya, bahasa dan kepercayaan,” katanya menerusi kenyataan media.

Filem pendek berkenaan menampilkan Muhammad Mokhtar Iskandarsyah sebagai Daniel, seorang pemuda kampung yang menjadi penghubung kepada perjalanan emosi watak Melina.

Turut membintangi karya itu ialah Kueh Mei Fung, Nurfatin Zulmisya Zulhazmi, Vallyssa Vallery Henry, Carvinnia Elzavina, Sindu a/p Ramasundran, Dexter Lim Zhen Qin dan Abdul Rahman Lee, manakala Mohammad Eusoff Abu Talib turut membuat penampilan khas.

Kekuatan filem itu turut terserlah menerusi penggunaan dialog pelbagai dialek termasuk Sabah dan Sarawak, selain menampilkan elemen budaya seperti makanan tradisional, tarian Sumazau dan Ngajat yang dekat dengan kehidupan masyarakat Borneo.

“Kemunculan karya seperti Singgah juga membuktikan bahawa filem pendek tempatan mampu menjadi medium penting dalam membina persefahaman sosial serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda,” menurut kenyataan itu.

Filem pendek Singgah boleh ditonton secara dalam talian menerusi media sosial Aaron Ago Dagang, Kementerian Perpaduan Negara serta agensi di bawah kementerian itu bermula 22 Mei ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.