Malaysia perlu tegas bantah permohonan pengampunan Jho Low – Gobind

Menteri Digital, Gobind Singh Deo menegaskan, akan membawa isu berkaitan ahli perniagaan buruan Jho Low ke mesyuarat Kabinet, Rabu ini. Foto arkib BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Mei – Malaysia perlu menyatakan kebimbangannya terhadap usaha ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, untuk mendapatkan pengampunan berhubung kesalahan dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua pihak terlibat dalam skandal 1MDB mesti dibawa ke muka pengadilan tanpa pengecualian.
  • Malaysia mengalami kerugian besar merentasi generasi akibat 1MDB; dalang tidak harus dibiarkan bebas tanpa proses keadilan.
  • Gobind akan membangkitkan isu ini di mesyuarat Kabinet dan mendesak agar Jho Low dibawa pulang menghadapi pertuduhan.

Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo berkata, terdapat laporan bahawa Jho Low telah memohon pengampunan presiden daripada Amerika Syarikat.

Menurut beliau, walaupun keputusan itu adalah hak dan bidang kuasa Amerika Syarikat, Malaysia tetap perlu menyuarakan pendirian bahawa semua pihak yang terlibat dalam skandal 1MDB mesti dibawa ke muka pengadilan tanpa pengecualian.

“Malaysia telah mengalami kerugian besar yang memberi kesan merentasi generasi akibat skandal 1MDB. Malaysia tidak boleh dan tidak harus membenarkan dalang jenayah ini serta mereka yang membantu pelaksanaannya bebas tanpa melalui proses keadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mendesak supaya Jho Low dibawa pulang bagi menghadapi pertuduhan di negara ini.

“Saya akan membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu depan supaya ia dapat dibincangkan secara terperinci, dengan harapan satu keputusan dapat dibuat mengenai tindakan seterusnya,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.