
- Perdana Menteri Anwar menyampaikan bantahan keras kepada PM Norway melalui perbualan telefon.
- Malaysia menegaskan telah memenuhi semua obligasi kontrak sejak 2018 dengan itikad baik.
- Keputusan itu menjejaskan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir dan kemampuan operasi laut.
- Norway menarik balik beberapa lesen eksport sebagai sebahagian usaha memperketat kawalan teknologi tertentu.
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Keputusan Norway menarik balik lesen eksport peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) pada saat akhir disifatkan tidak wajar dan memberi kesan serius terhadap kesiapsiagaan pertahanan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantahan keras berhubung keputusan unilateral itu telah disampaikan dalam perbualan telefon bersama Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre.
Menurut beliau, Malaysia telah memenuhi setiap obligasi kontrak sejak 2018 secara bertanggungjawab dan dengan penuh itikad baik.
“Tindakan ini akan memberi kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS),” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan keputusan Norway itu bukan sahaja menjejaskan Malaysia, malah boleh memberi implikasi lebih luas terhadap keseimbangan keselamatan serantau.
“Kontrak yang dimeterai adalah komitmen serius. Ia bukan sesuatu yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya,” katanya lagi.
Beliau berkata jika pembekal pertahanan Eropah boleh menarik diri daripada kontrak tanpa sebarang tanggungjawab, kredibiliti mereka sebagai rakan strategik turut akan terjejas.
“Jika pembekal pertahanan Eropah merasakan mereka boleh menarik diri daripada perjanjian tanpa sebarang tanggungjawab, maka nilai mereka sebagai rakan strategik akan terjejas sama sekali,” katanya.
Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.
Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.
Peluru berpandu itu berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300 kilometer.