
KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Dua tenaga pengajar sebuah badan berkanun di Terengganu direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan pengeluaran sijil kelayakan kompetensi.
- Suspek dipercayai menerima RM30,000 sebagai balasan meluluskan sijil kompetensi tanpa syarat.
- Pembayaran antara RM900 hingga RM1,500 daripada 31 peserta dipindahkan ke akaun peribadi suspek.
- SPRM siasat kemungkinan kegiatan lebih besar; kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
Perintah reman sehingga 8 Mei itu dikeluarkan oleh Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an dan 40-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu.
Suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM30,000 sebagai balasan untuk meluluskan sijil kompetensi kepada peserta tanpa memenuhi syarat kelayakan.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menerima bayaran antara RM900 hingga RM1,500 daripada setiap peserta, melibatkan seramai 31 individu.
Wang berkenaan dipercayai dipindahkan terus ke akaun bank peribadi milik suspek.
SPRM kini sedang meneliti kemungkinan kegiatan tersebut melibatkan skala yang lebih besar serta tidak menolak akan melakukan beberapa lagi tangkapan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.